Tuesday, March 12, 2013

Projek Cabai di Kulim

Untuk projek tanaman cabai sahabat kami di Kulim, harini kami dah beli sabut kelapa sebanyak 20 guni untuk dijadikan media di dalam polybag fertigasi. Beli kat Alma.


Anak-anak pokok cabai yang disemai kat dalam tray semaian pun dah semakin membesar sihat dan kuat. Sikit lagi dah boleh dipindahkan ke dalam polybag. Sebelum masuk dalam polybag, media dalam polybag tu mesti dibasahkan terlebih dahulu selama beberapa hari bagi meningkatkan kesihatan dan kekuatan pokok dan seterusnya dapat hasil yang optimum.



Minggu lepas melawat ladang En. Khairul Boss di Kelang untuk beli beberapa bahan dan kelengkapan fertigasi. Antaranya polybag, baja set A dan set B, serta nutrien tambahan bagi tanaman. Di ladang beliau sedang tanam pokok cabai jugak...

Besar ladang cabai En. Khairul Boss ni.

Perkembangan tapak fertigasi timun di rumah pulak, pada harini dah tuai buah timun yang terakhir bagi musim yang kedua ni. Jumlah keseluruhan hasil tuaian adalah seberat 150 kg. Hasil memang dapat lebih banyak daripada musim pertama. Musim pertama dulu hanya 84 kg. Namun, setelah sembang2 dengan En. Khairul Boss, beliau kata, patutnya timun boleh mencapai hasil seberat 6-8 kg bagi setiap pokok... Hasil yang kami dapat cuma 1.5 kg satu pokok... Jauh lagi nak sampai ke tahap penghasilan yang optimum... Tapi takpa, atas nasihat dan tunjuk ajar yang sempat beliau berikan kepada kami, bersertakan dengan beberapa bahan nutrien tambahan, pasti hasil yang akan dapat pada musim akan datang akan meningkat lagi...

Tanaman untuk musim akan datang kami masih lagi dalam proses perbincangan, samada nak tanam kailan pulak, ataupun nak tanam timun jugak lagi sekali. Kalau tanam timun, mudah sikit nak buat perbandingan antara musim2 terdahulu dengan musim akan datang ni, yang mana ada beberapa perkara baru yang akan kita laksanakan terhadap pokok2 tu nanti, seperti penggunaan bahan nutrien tambahan tu tadi... Kailan kami masih cuba2, tapi hasil tanam kailan dalam 5 polybag macam tak berapa menjadi... Apa2 pun, yang penting mesti rajin dan mesti minat... Baru boleh istiqomah dalam melaksanakan apa jua kerja sekalipun... Pasti! §

Thursday, March 7, 2013

Progress Semaian Cabai di Kulim


Minggu ini masuklah minggu ke 3 semaian cili atau nama lain orang tempatan iaitu cabai. Pokok-pokok semaian 90% menjadi. Masuk hari ini pokok-pokok diberi semburan folier untuk menggalakkan pertumbuhan akar dan daun.

Cuaca di Utara semakin bertukar ke cuaca panas. Bila cuaca panas, sudah tentu menarik perhatian serangga-serangga lain.Terbaru penemuan serangga atau ulat yang sudahpun kenyang. habis dua anak pokok dah kena telan dek ulat ni. Mungkin masuk ke anak pokok ke 3 ia sudah terlalu berat lalu anak pokok pun tumbang.
 


 Bila anak pokok dah semakin membesar, usaha sekarang perlu ditumpu pada persiapan sistem pengairan dan pembajaan. Tunggu update-update kami seterusnya.

Sunday, February 17, 2013

Projek semaian Cili di Kulim bersama En Hakim

Minggu ini team kami berpeluang membantu dalam mengusahakan projek baru untuk semaian cili di Kulim.
Projek ini akan diusahakan oleh En NorHakim yang berminat mengusahakan tanah di sebelah rumah beliau seluas kira-kira 4 m x 21m.. Mengikut anggaran kami tapak ini boleh memuatkan lebih 200 polybeg. Jenis tanaman yang akan di usahakan adalah Cili 568.















  Gambar di atas merupakan lakaran pelan keluasan tapak beliau. Juga sebelah kanan merupakan tapak beliau. Tapak ini baru sahaja dibersihkan beliau.

 Gambar di bawah pula merupakan jenis biji benih yang disemai. Harga di Permatang Pauh RM 28 didalamnya ada lebih kurang 1000 biji benih.

 
Menggunakan sedikit pengalaman dari kursus yang kami ikuti dari Jabatan Pertanian tahun lepas, kami pun mula menyemai biji benih cabai berkenaan. 550 biji benih kami semai tadi. Peat Moss di penuhkan dalam tray dan biji benih diletakkan pd lubang-lubang yang ditindik dengan jari kelingking lebih kurang 1cm dalam. Untuk pemerapan, kami tutupkan dengan jaring hitam lipat dua 50% dan disiramkan dengan air. Dijangkakan dalam masa seminggu ini anak benih akan mengeluarkan anak pokok.

 



 Jadi mari kita sama-sama doakan peratusan anak pokok yang menjadi lebih dari 90 %. Kami akan updatekan lagi nanti .. X sabar nak tunggu daun cabai ni keluar. Dalam masa yang sama prasarana fertigasi lain seperti piping, polibeg,pam dan lain-lain perlu di setup dalam masa sebulan ini sebelum anak pokok dipindah ke polibeg.

Mengimbau kembali saat pertama minat bertani dalam en Hakim adalah pada Oktober 2012..


Ok jumpa lagi nanti..

Friday, February 15, 2013

Pembajaan Efektif

Pembajaan yang efektif sangat penting bagi mendapatkan hasil yang optimum dalam sistem pertanian secara fertigasi.

Seminggu yang lepas kami memulakan penuaian pertama bagi musim kedua penanaman timun di kebun kami. Semalam genap seminggu tempoh penuaian telah dijalankan, dan hasil yang didapati adalah jauh lebih banyak berbanding dengan minggu pertama musim pertama dulu...

Musim pertama:
173 polybag (kira-kira 350 pokok sebab satu polybag ditanam lebih daripada satu pokok)
22 batang timun
6.28 kg berat keseluruhan

Musim kedua:
100 polybag (101 pokok)
76 batang timun
25.92 kg berat keseluruhan

Walaupun bilangan pokok adalah jauh lebih sedikit, namun hasil tuaian adalah tiga kali ganda lebih banyak. Berat keseluruhan juga empat kali ganda lebih berat.

Dua hari lepas secara tidak sengaja, pagi-pagi kami tersiram baja sebanyak dua kali. Semalam pula hasil tuaian didapati meningkat agak mendadak berbanding hasil tuaian dua hari lepas (semalam: 27 batang, 9.10 kg, dua hari lepas: 15 batang, 4.85 kg). Berkemungkinan baja yang berlebihan tu telah meningkatkan hasil tuaian tersebut. Jadi, untuk beberapa hari ini kami akan cuba siram dua kali ganda daripada sukatan siraman baja dan air yang kebiasaannya kami buat. Ada yang kata tak bagus kalau bagi terlebih baja kepada tanaman. Tapi mungkin baja yang kami berikan selama ni pun memang kurang daripada skuatan sepatutnya yang optimum. Kami akan perhatikan hasilnya nanti baru dapat dinilai keberkesanannya. Pasti ada peningkatan. §

Tuesday, February 12, 2013

Kebun Fertigasi Tanaman Timun Musim Kedua

Jumaat lepas (08/02/2013) kami tuai hasil timun buat kali pertama untuk tanaman musim kedua ni.

Hasilnya cuma 3 batang sahaja dengan jumlah berat 855 gram. Tetapi salah satu daripadanya didapati rosak, bahagian dalamnya lembik akibat serangan serangga buah. Jadi, setelah ditolak yang rosak, jumlah berat yang boleh dijual hanyalah 544 gram sahaja.

Keadaan lembik di bahagian dalam timun.

Harini kami tuai buat kali kedua. Kalini setelah 3 hari tak tuai, terdapat 32 batang yang dapat dituai dengan jumlah berat 11.43 kilogram. Sebahagian daripanya dah agak oversize dah, dengan yang paling besar seberat 556 gram. Memang dah agak terlalu besar dah tu. Kami tuai agak terlewat sikit daripada waktu yang sepatutnya disebabkan outstation. Kalau ikutkan, berat yang optimum untuk gred A adalah sekitar 250 hingga 300 gram.

32 batang timun yang dituai harini.

Namun terdapat 4 batang timun yang didapati ada sedikit kerosakan seperti kesan tebukan kecil di bahagian luaran. Kami jangkakan ini adalah hasil daripada serangan serangga buah seperti yang berlaku pada hasil tuaian pertama tempoh hari.

Lubang kecil di bahagian luar kulit timun.

Hasil tuaian timun pada musim kedua setakan ni adalah jauh lebih baik berbanding musim pertama terdahulu. Dulu minggu pertama tuaian cuma dapat menghasilkan timun sebanyak 22 batang dengan jumlah berat 6.28 kilogram sahaja. Tetapi kalini tak sampai seminggu lagi tapi hasilnya dah melebihi tuaian minggu pertama musim yang dulu dah. Pastinya hasil keseluruhan adalah lebih tinggi dah memberi pulangan yang lebih menguntungkan... §

Tuesday, February 5, 2013

Perkembangan kebun kami

Sedikit update tentang kebun kami di perkarangan rumah sewa kami di Putra Bertam. Untuk makluman, tanaman ini merupakan tanaman kali kedua fertigasi timun. Antara penambahbaikan yang kami lakukan berbanding tanaman pertama adalah:

1) Sistem tanaman piping dan pump 0.5 hp - dahulunya sistem siraman.
2) Penggunaan dawai bagi mengantung jaring timun - dahulunya menggunakan tali rafia sahaja.
3) Pengurangan jumlah pokok per polibag. - dahulunya 2 pokok per polibag.




Antara kebaikan menggunakan sistem piping n pump ini adalah, masa membaja dan menyiram menjadi lebih singkat dan cepat. Jika dahulunya mengambil masa sekitar 30 minit ke 45 minit untuk menyiram secara manual, sekarang hanya mengambil masa kurang 5 minit sahaja..

Tetapi terdapat juga kelemahan seperti tahap tekanan air perlulah sama rata ke semua polibag, kalo x nanti ada pokok yang tidak cukup baja pula.. Selain dari itu, sebab dah automatik, masa lawatan ke setiap pokok jadi kurang. Jika dahulu kalo siram manual, tiap-tiap pokok dapat dilihat dan diperhatikan.. Tetapi skarang mungkin ada yang miss.

Ok, setakat ini dulu, next update kami akan updatekan perkembangan terkini pokok kami..

Wednesday, January 23, 2013

Program Usahawan Tani Pelapis

Rabu lepas (16 Januari) kami memulakan Program Usahawan Tani Pelapis (PUTP) di Sekolah Kebangsaan Penaga.
Untuk gambar-gambar dan penjelasan terperinci mengenai PUTP bolelah layari pautan di bawah ni:

https://www.facebook.com/utp.penang

Kebun terbahagi kepada 5 batas, setiap batas terdiri daripada dua barisan, dan setiap satu barisan ada 5 polybag. Jumlah semua ada 50 polybag.
Dibahagikan kepada 5 batas kerana pokok-pokok tu nanti akan ditangani dan dipelihara oleh sekumpulan murid-murid SK Penaga yang merupakan ahli Kelab Kemahiran Hidup merangkap peserta PUTP. Mereka akan dibahagikan kepada 5 kumpulan.

Beberapa hari lalu dan jugak harini, kami kembali ke SK Penaga untuk menyiapkan infrastruktur kebun fertigasi PUTP tersebut (sistem pengairan fertigasi dan jugak jaring).

Semalam kami pacak tiang-tiang untuk gantung jaring timun. Kesemua 20 tiang berjaya dipacakkan dalam jangka masa yang ditetapkan. Walaubagaimanapun ada beberapa tiang yang masih perlu diperkukuhkan lagi pada waktu akan datang. Tanah jenis pasir di kawasan kebun memudahkan kerja mengorek lubang dalam-dalam untuk tanam tiang-tiang tersebut.

Harini kami pasang kabel merentasi tiang-tiang tersebut. Tapi disebabkan tersalah kiraan, dengan bahan yang sedia ada, kami cuma sempat rentangkan kabel pada 8 barisan sahaja, lagi dua tak cukup. Jaring pun sempat dipasang hanya pada tiga barisan sahaja. Kami akan perolehkan lagi bahan-bahan yang diperlukan supaya dapat melengkapkan kesemua 10 barisan dengan kabel dan jaring yang sempurna.

Keadaan terkini kebun fertigasi PUTP SK Penaga

Jaring kena siapkan secepat mungkin sebelum pokok-pokok timun mula menjalar. §