Wednesday, July 17, 2013

Isu Kenaikan Harga Makanan

              Masalah harga makanan yang meningkat terutama pada 5 tahun kebelakangan ini memang membimbangkan. Ini kerana dek kerana masalah ini polar kehidupan manusia juga berubah. Contohnya, akibat dari tekanan kenaikan harga barangan ini kaum perempuan terpaksa berkerja membantu suami untuk menyelesaikan masalah tekanan harga makanan ini. Selain dari itu, isu ini juga menymbang kepada kenaikan jumlah hutang isi rumah di negara kita. Malahan isu ini juga mungkin menyumbang kepada masalah-masalah lain seperti peningkatan kadar jenayah dan masalah-masalah sosial yang lain.

Menurut Food and Agricultural Organization (FAO) , kenaikan ini bermula dari tahun 2009 dan ianya terus meningkat dari tahun ke tahun. Antara bahan makanan yang meningkat naik harganya adalah produk dari susu (dairy), daging, bijian (cereals) dan juga minyak masakan (oil and fats).




Antara sebab-sebab mengapa harga makanan ini menaik ialah termasuk perubahan iklim, dasar menggalakkan penggunaan biofuel, harga tenaga yang semakin meningkat dan harga baja, kurang tanaman tuaian, sekatan eksport negara, peningkatan permintaan makanan dunia dan stok makanan yang rendah.

http://www.worldwatch.org/global-food-prices-continue-rise-0

Ini ditambah lagi dengan penggalakan perindustrian oleh negara-negara maju yang mengetepikan pertanian.

Masalah kenaikan harga makanan ini bagi pandangan kami bakal menimbulkan ketakutan kepada semua sehinggalah satu hari nanti kemungkinan kita tidak lagi mampu membeli makanan sendiri.

Untuk mengatasi masalah-masalah ini mari kita sama-sama menambahkan lagi pengeluaran makanan kita agar sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah-masalah ini. Galakan kerajaan untuk mempromosikan pertanian di bandar-bandar dan berskala kecil dan banyak boleh menyumbang ke arah jaminan makanan ini.

Sekian buat masa ini, di harap artikel ini boleh menambah kesedaran kita tentang pentingnya pertanian dalam membangun negara. Bak kata pepatah cina:

'NEGARA KUAT BILA PETANINYA KUAT'

Tq
Sumber:

http://www.fao.org/worldfoodsituation/FoodPricesIndex/en/

http://www.worldwatch.org/global-food-prices-continue-rise-0

http://www.guardian.co.uk/global-development/2013/may/23/food-prices-money-love-status

http://www.nbr.co.nz/article/nz-food-prices-post-biggest-gain-gst-hike-october-2010-led-fruit-vegetables-bd-142686


Thursday, July 11, 2013

Semaian Cili dan Perkembangan Pasir Gebu

Salam Ramadhan.
Harini harini kedua berpuasa. Dalam bulan puasa ni kerja2 pembangunan di tapak fertigasi Pasir Gebu terpaksa dijalankan pada kadar yang sedikit perlahan, namun tetap berterusan.

Semaian benih cili:
Benih yang dah disemai di dalam tray dah masuk hari yang ke 12. Setakat ni perkembangan agak memberangsangkan. Sebanyak 8 tray yang disemai, berjumlah 832 lubang. Sehingga pagi tadi terdapat sebanyak 668 (80%) benih yang dah bercambah dan kebanyakannya dah membesar sampai tahap dah ada dua daun. Namun ada jugak yang patah (mungkin ditimpa barang yang terjatuh) dan ada yang mati. Dua daripada tray jugak agak mengecewakan tahap percambahannya dijangka disebabkan dipijak2 oleh kucing2 yang suka bermain di situ dulu. Terdapat jugak sebahagian kecil lubang yang tumbuh dua pokok, mungkin sebab dua benih terjatuh dalam satu lubang masa semai dulu.


Setiap hari mesti disiram, pastikan tanah peat moss di dalam tray tak kering. Setelah seminggu, boleh mula siram dengan campuran folier selang setiap seminggu pada batang dan daun anak pokok.

Proses Pembesaran Benih:
Hari ketiga benih mula bercambah. Ada jugak yang ambil masa lebih daripada tiga hari, bergantung kepada keadaan cuaca, kelembapan tanah, kedalaman benih ditanam, dan mungkin jugak kadar kekerasan kulit benih. Setakat hari ke-12 ni pun masih ada benih yang baru nak bercambah.
 Hari kelima benih akan mula mengeluarkan dua daun. Jugak ada sesetengahnya yang ambil masa lebih lama daripada tu.
Hari keempat belas, anak pokok mula mengeluarkan daun keempat. Waktu ni dah kena mula siram dengan baja set A+B.
Hari kedua puluh lima, mula mengeluarkan daun keenam. Pangkal batang dah mula bertukar warna kekelabuan atau keperangan. Waktu ni dah cukup kuat untuk dipindahkan ke dalam polybag. Namun elok jugak jika tunggu sehingga hari ketiga puluh baru pindahkan untuk pastikan anak pokok tu betul2 kuat dulu.
Rumah Semaian:
Lebih baik kalau ada rumah semaian untuk simpan anak2 pokok sementara menunggu waktu sesuai untuk dipindahkan ke dalam polybag. Rumah semaian penting untuk mellindungi anak2 pokok daripada serangan serangga perosak, angin atau hujan yang terlalu kuat, dan jugak pancaran sinar UV matahari (gunakan plastik UV sebagai atap dan dinding).
Kami telah siapkan rekabentuk rangka rumah semaian dan sekarang dalam proses pembinaan secara berperingkat. Sekarang rangka dah siap pasang, cuma belum ada para (tu para sementara menggunakan kayu khusus untuk kegunaan lain) dan jugak dinding dan atap. Perlu ada pintu jugak untuk senang nak buka dan tutup waktu nak siram atau pindahkan anak pokok nanti. Perlu fikirkan kaedah terbaik untuk pintu tu.

 

Kebiasaannya rumah semaian dibuat dua tingkat. Tingkat bawah berkeadaan gelap untuk letak tray yang baru semai, di mana anak benih yang masih belum bercambah tidak memerlukan cahaya matahari dan memerlukan kadar kelembapan tanah yang tinggi.

Tapak Fertigasi:
Setakat ni tujuh baris silvershine dah dibentang. Setiap baris silvershine akan menempatkan dua baris polybag dialas dengan dua bata simen setiap polybag. Baru empat baris bata yang dah disusun, namun tak begitu kemas dan lurus lagi.



Bila dah susun bata, silvershine akan dikemaskan dengan paku payung ke tanah. Jumlah polybag dalam satu barisan adalah tak sekata sebab bentuk tapak yang bukan segi empat tepat. Jugak disebabkan terdapat tunggul pokok kelapa di tengah tapak yang tak dapat disingkirkan. Ada satu barisan polybag yang akan melalui tunggul tersebut, jadi terpaksalah lapangkan ruang di situ. Sejumlah 300 polybag akan dimuatkan dalam sistem pertama ni.
Permukaan tanah agak tidak rata di setengah2 tempat akibat proses tebang pokok kelapa tempoh hari. Masa nak susun bata betul2 nanti, kena timbus2 sikit tempat2 yang tanah agak berlubang2 dan mendap tu.
Tiang2 penyokong akan dipacakkan pada jarak setiap 8-10 kaki pada setiap barisan polybag. Kabel atau dawai kasar akan ditegangkan di antara setiap tiang sebagai sokongan (trellis) kepada pokok2 cili nanti.

Sistem Pengairan:
Setiap baris dah disiapkan dengan polypipe 16mm, tapi belum ditebuk dan belum dipasang dengan microtube lagi. Polypipe 16mm dipasangkan dengan injap di setiap sambungan bagi membolehkan kadar aliran dikawal agar sekata pada setiap barisan. Seterusnya sambungan terus ke polypipe 32mm, dan terus ke pam dan tangki. Sistem pengairan telah diuji dengan jayanya!
Pada mulanya, tekanan aliran ke tapak fertigasi didapati terlalu tinggi yang dikhuatiri mungkin akan mengakibatkan kebocoran pada sambungan kerana pam yang digunakan berkuasa agak tinggi (1HP). Jadi, aliran keluar dari pam telah dicabangkan kepada dua cabang (sambungan hijau dalam gambar di bawah), satu cabang dialirkan ke tapak fertigasi dan satu lagi dilimpahkan semula ke dalam tangki.


Cabang ini jugak berguna bagi mengelakkan daripada campuran baja di dalam tangki tersifon (siphon) keluar melalui penitis (dripper) disebabkan tekanan dalam paip, walaupun setelah pam dimatikan.

Walaupun agak perlahan, namun kadar dan kecekapan pembangunan yang dilaksanakan agak memuaskan. Kami sasarkan supaya anak2 pokok dapat dipindahkan ke tapak fertigasi siap dengan tiang sokongan sebelum Syawal menjelang. Perkara yang baik pasti Allah izinkan, hanya bergantung kepada kita untuk mengusahakannya. Insya Allah. §

Tuesday, July 2, 2013

Jaminan Makanan Negara

Assalamualaikum,

Hari ini mari kita sama-sama bincangkan mengenai jaminan bekalan makanan negara dan juga dunia. Makanan adalah satu aspek penting yang perlu diuruskan dengan baik. Ini termasuklah dengan mencukupkan kuantiti makanan per penduduk dan juga mengawal harga makanan supaya ianya mampu di beli dan di bekalkan kepada rakyat. Negara yang sejahtera memberi jaminan pemakanan yang baik kepada rakyatnya.

Mengikut website worldhunger.org, definisi KELAPARAN terbahagi kepada 3 , iaitu:


(Oxford English Dictionary 1971)

1. Rasa tidak selesa atau sakit yang disebabkan oleh ketiadaan makanan; selera keinginan. Juga keadaan letih disebabkan oleh ketiadaan makanan

2. Ingin atau kekurangan makanan di negara

3. Keinginan yang kuat atau keinginan

(http://www.worldhunger.org)

Jadi dalam kontek negara, definisi kedua boleh diambil kira, iaitu kekurangan makanan di peringkat dunia dan negara. Manakala istilah teknikalnya memberi maksud pemakanan yang diambil iaitu tidak mendapat makanan yang cukup atau dalam bahasa perubatannya ialah undernutrition ataupun malnutrition.


Mengikut fakta dari United Nation Food and Agricultural Organizational (UNFAO) sejumlah 870 juta orang seluruh dunia mengalami masalah undernutrisi kronik. Ini adalah satu dari lapan orang seluruh dunia pada tahun 2010-2012. Menarik lagi sejumlah 97% daripada jumlah ini (852 juta) adalah terdiri dari rakyat negara-negara membangun. Manakala selebihnya adalah terdiri dari mereka yang berasal dari negara maju.

Lebih menyedihkan lagi kebanyakan mangsa adalah terdiri dari kanak-kanak. Kanak-kanak yang mempunyai masalah undernutrisi ini kebanyakan mengalami sakit lebih dari 160hari dalam setahun. Masalah kekurangan makanan ini juga dikenalpasti memainkan peranan dalam separuh dari 10.9 juta kematian kanak-kanak setiap tahun. Punca-punca kematian adalah disebabkan penyakit-penyakit seperti campak dan malaria yang ditambahkan lagi dengan kekurangan zat makanan. Selain penyakit ini, kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat ini juga terdedah kepada penyakit-penyakit lain seperti cirit birit dan pneumea yang mengakibatkan kematian.


Jadi masalah-masalah seperti ini amatlah penting untuk kita perhatikan dan mengambil langkah untuk mengatasinya. Malaysia telah mengambil langkah dengan mewujudkan Dasar Jaminan Bekalan Negara yang diwujudkan pada 2008 dengan meluluskan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) pada 2 Mei 2008 bagi:-
  1. Meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor agro makanan bagi memenuhi tahap sara diri.
  2. Memastikan pengusaha pertanian mendapat pendapatan yang setimpal serta menjamin pengeluaran bahan makanan tidak menurun.
  3. Memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.
(http://www.doa.gov.my/dasar-jaminan-bekalan-makanan)

Bagi memastikan matlamat DJBM tercapai, Kementerian Pertanian telah merangka tujuh (7) program/projek utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh 2008-2010 melalui Jabatan/Agensi di bawah Kementerian. Bagi tahun 2008, program/projek yang dirancangkan meliputi:-
  1. Peningkatan pengeluaran beras
  2. Pewujudan stok penimbal beras
  3. Program peningkatan pengeluaran dan produktiviti  tanaman, perikanan dan ternakan.
  4. Pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha Pertanian
  5. Mengukuhkan FAMA bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian
  6. Pelaksanaan Program Bumi Hijau
  7. Pembangunan tanah terbiar dan kolam terbiar untuk meningkatkan pengeluaran

Jadi melihat dengan dasar-dasar di atas, kita sebagai pengeluar hasil tani haruslah sentiasa alignkan hasil-hasil kita dengan memastikan produk-produk tani kita mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.. Ini termasuklah dengan penggunaan racun yang tidak membahayakan pengguna, gunakan kaedah organik dan lain-lain.

Jadi marilah sama-sama kita meningkatkan hasil pengeluaran kita untuk terus sama-sama memajukan negara dan merahmatkan negara ini InshaAllah.. Semoga Malaysia terus maju dan cemerlang.

Jumpa lagi dilain masa..




Wednesday, June 19, 2013

Proses Penebangan Pokok Kelapa

Ahad lepas telah dimulakan operasi penebangan pokok-pokok kelapa yang tumbuh di dalam kawasan kuarters Pasir Gebu. Kesemuanya ada 10 batang pokok kelapa yang ditebang.

Agak sukar juga proses penebangan ni, perlu dirangcang dan dilaksanakan dengan terperinci dan teliti disebabkan terdapatnya infrastruktur berhampiran seperti tembok pagar masjid, pagar jaring, dan juga bangunan kuarters tersebut yang mempunyai risiko kerosakan sekiranya ditimpa oleh pokok kelapa yang ditumbangkan.

Kami menghubungi Abang Nasir dari Paya Keladi bagi mendapatkan khidmat beliau dan rakan2.

Penebangan dilaksanakan dengan menggunakan jentolak dan juga mesin gergaji bermotor. Tanah yang lembut sebab agak kerap hujan kebelakangan ni, dan jugak tanah jenis pasir di beberapa bahagian memudahkan proses penumbangan sesetengah pokok. Sesetengah yang lain terpaksa ditebang dengan gergaji bermotor.







Lepas dah tebang, hasil2 tabangan pokok kelapa dibakar. Nak bakar sampai kesemuanya selesai memerlukan beberapa hari jugak.



Bila kesemua saki-baki pokok kelapa dah dihapuskan nanti, kami akan mulakan operasi untuk membina sistem fertigasi pertama (400 polybag). §


Friday, June 14, 2013

Info tentang tanaman Kailan

Assalamualaikum,


Antara tanaman yang telah kami cuba didalam sistem fertigasi adalah tanaman Kailan. Untuk menanam tanaman ini diperlukan untuk menjaga kualiti media tanaman. Ini kerana banyak masalah yang akan timbul sekiranya jenis tanaman tidak ditukar. Tanaman-tanaman perlu ditukar setelah 2 kali jenis tanaman itu ditanam. Ini bagi mengelakkan penyakit-penyakit akibat serangga dan penyakit dari media berlarutan sekiranya tanaman yang sama di guna berulang kali.

Jadi kami telah belajar dalam menanam sayur Kailan. Sayur Kailan ini jika di pasaran mempunyai harga yang tidak terlalu murah. Harga pasaran adalah sekitar rm 2.50 ke rm 5 sekilo. Tanaman ini memerlukan kadar ec baja yang tidak terlalu tinggi iaitu ec 1.2-1.5 . Untuk projek usahawan tani pelapis di SK Penaga yang telah pun tamat tanaman timun, kami telah pun menyemai sayuran Kailan dan masuk hari ini telah pun masuk hari ke 29 dari semaian.





Antara info-info lain tentang tanaman ini ialah :

Satu polibag 5 atau 6 biji benih.

EC 1.2-1.5

Cara untuk harvest ialah sayur dipotong potong lebih kurang paras media.. buang akar, gembur dgn tangan dan jika mahu diteruskan bolehlah  ditanam semula sama ada tanam biji benih 
atau pindah sebahagian anak pokok dlm pbag yg disemai dgn byk biji benih.. 

HASIL
lebih kurang 300-500g/pbag semai 5 6 biji/pbag 

Kailan ini adalah tanaman sampingan bagi kebanyakan pengusaha. Air yang diperlukan bagi setiap polibeg adalah 2 liter sehari.

Tanaman sudah mula boleh di tuai pada hari ke 45. Jadi di SK Penaga memerlukan 2 minggu lagi untuk mendapatkan hasil.

Jadi ini yang dapat kami kongsikan hari ini. Selamat mencuba.

Terima Kasih

Thursday, June 6, 2013

Projek di Pasir Gebu

Projek pertanian fertigasi di Kuarters Pasir Gebu akan dimulakan tidak lama lagi. Peralatan telahpun hampir lengkap dibeli untuk membina sistem pengairan bagi sistem yang pertama (400 polybag). Sistem kedua (400 polybag) dan sistem ketiga (200 polybag - R&D) akan dibangunkan secara berperingkat setelah sistem pertama siap dibina sepenuhnya.

Pokok cabai telahpun kami semai beberapa minggu yang lalu bagi memulakan tanaman di sestem pertama. Kami rancang untuk tanam 2 pokok di dalam satu polybag. Jadi, 800 pokok diperlukan untuk mengisi 400 polybag. Kami semai sebanyak 9 tray (936 pokok). Namun, sehingga kini, cuma terdapat kira2 609 anak pokok sahaja yang telah bercambah dan membesar setinggi kira2 1-2 inci. 65% sahaja daripada jumlah benih yang disemai. Kami akan semai lagi 3 tray bagi menampung kekurangan tersebut supaya keseluruhan 400 polybag nanti akan dapat ditanam dengan jumlah pokok yang telah dirancangkan.

Walaupun kelengkapan telah siap dibeli, namun sistem pengairan masih lagi tak dapat kami mula pasang sebab terdapat beberapa batang pokok kelapa di dalam kawasan kuarters tersebut yang kami jangka akan memudaratkan pokok2 yang ditanam nanti sekiranya buah kelapa ada yang jatuh menimpa.


Proses penebangan pokok2 kelapa tersebut masih lagi dalam perbincangan. Sekiranya mendapat kelulusan semua pihak, pokok2 tersebut akan ditebang, dan sejurus selepas itu, kami akan mulakan pembinaan sistem pengairan fertigasi tersebut.

Projek ini dibiayai oleh Jabatan Pertanian. §

Friday, May 24, 2013

Tanaman Batas vs Tanaman Fertigasi

Minggu Lepas dan minggu ini kami berpeluang melawat Taman Kekal Pengluaran Makananan TKPM di Ara Kuda Tasik Gelugor. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang tanaman dan aspek keusahawanan berskala lebih besar.

Sedikit pengenalan tentang taman ini ialah tanah seluas 200 ekar di berikan kepada lebih 30 usahawan berbagai bangsa untuk mengusahakan tanaman yang fokusnya terhadap sayur dan buah buahan.
Sewa tanah disini ialah RM 50/ekar setahun. Antara tanaman yang diusahakan di sini ialah sayuran daun seperti sawi, kangkung, bayam merah dan lain-lain. Selain itu jga terdapat tanaman buah seperti pisang, betik, jagung , timun kekacang dan lain-lain.

Fokus utama taman kekal pengeluaran makanan ini selain menjamin bekalan makanan setempat, ianya juga memberi penekanan untuk membantu menjana pendapatan pengusaha sekurang-kurangnya RM 3000 sebulan sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan setempat.

Semua tanaman di sini adalah berasaskan tanaman batas dan dari perbincangan dan pemerhatian kami memang ada perbezaan dalam jenis penanaman batas dan tanaman fertigasi.

1. Kos permulaan prasarana

Untuk tanaman jenis batas, kos permulaan tidaklah setinggi kos permulaan untuk sistem fertigasi yang kita maklum memerlukan sistem piping dan lebih lengkap sistem bumbung penahan hujan. Bagi sistem batas kos permulaan melibatkan kos membersihkan kawasan, kos piping (sprinkler) dan lain.

Bagi kos-kos anak benih , pembajaan dan racun mungkin juga berbeza berdasarkan faktor lokasi dan keadaan tanah bagi tanaman batas. Untuk fertigasi, kos ini dapat dijangkakan kerana jika sistem piping dan pembajaan berjalan dengan baik, juga pertumbuhan pokok tumbuh dengan baik maka costing akan menjadi lebih mudah dan dalam jangkaan. Jadi perancangan dapat di buat dengan baik dan teliti.

2. Penyelenggaraan

Bagi tajuk ini, tanaman sistem fertigasi lebih mudah di selenggara. Ini kerana bagi sistem batas ianya lebih terdedah kepada vektor- vektor bawaan dari tanah dan persekitaran. Bagi sistem fertigasi pula, biasanya pengusaha dapat mengelakkan elemen-elemen ini dengan penggunaan silvershine dan rumah pelindungan hujan. Namun sistem batas pada masa ini juga banyak ditambah baik dengan penemuan-penemuan terkini hasil penyelidikan. Bagi sistem yang berskala besar sudah tentu memerlukan lebih masa dan penelitian.

3. Hasil

Point ini menarik untuk dibincangkan. Dari Jabatan Pertanian sendiri sistem fertigasi lebih mengeluarkan hasil berbanding sistem batas, Bagi tanaman seperti cili dan rockmelon mengikut statistik, sistem fertigasi mengeluarkan sehingga 7 kali lebih hasil berbanding sistem batas. Namun sistem fertigasi ini terhad kepada beberapa jenis tanaman sahaja. Sudah tentu tanaman-tanaman lain yang sangat diperlukan negara seperti pisang, betik dan lain-lain tidak boleh atau belum lagi ditanamn menggunakan sistem fertigasi.

Selain faktor-faktor ini, faktor-faktor lain yang perlu difikirkan dan diimbangkan pengusaha adalah seperti saiz keluasan ladang, faktor persekitaran seperti suhu dan kelembapan juga faktor kemudahan untuk mendapatkan alat ganti dan lain-lain. Ini kerana sudah tentunya faktor-faktor ini akan melibatkan kos samada kecil ataupun besar.

Jadi diharapkan perbandingan ini dapat membantu anda-anda yang terfikir untuk memulakan aktiviti perladangan ini.

Terima Kasih Malaysia.