Tuesday, May 27, 2014

Tuaian Cabai Musim Kedua

Minggu lepas secara rasminya kami dah mulakan penuaian di kebun fertigasi tanaman cabai kami di kuarters Jabatan Pertanian di Pasir Gebu. Sebelum ni tuaian tak rasmi melibatkan buah2 cabai yang masih hijau yang gugur secara tak sengaja atau sebab dahan pokok patah. Yang tu kami tak jual, buat makan sendiri je. Kalini ni rasanya lebih pedas daripada musim pertama.

Hasil tuaian sulong musim kedua

Tuaian sulong tak dapat banyak sangat, 380 gram sahaja, tapi hampir dua kali ganda lebih banyak daripada tuaian sulong musim pertama dulu. Setakat ni setelah hampir seminggu menuai, jumlah berat yang diperolehi adalah 6.6 kilogram. Tuaian dibuat setiap dua hari sekali.

Pelbagai masalah yang terjadi sepanjang musim kedua ni. Antaranya masalah dripper tersumbat, daun melentik, mozek, kulat, pokok kurang nutrien, dan sebagainya. Masalah2 tersebut semuanya pasti ada jalan penyelesaiannya. Yang penting kena terus usahakan tanaman dan berusaha untuk mencari dan melaksanakan jalan2 penyelesaian tersebut.

Pokok cabai yang lebat buahnya

Harga pasaran juga sekarang ni agak tak stabil. Ada kawasan yang harga normal, ada yang harga tinggi, ada yang harga rendah. Mungkin disebabkan lambakan sayuran yang diimport dari negara jiran. Kebiasaannya di musim perayaan (raya puasa, raya haji, dan sebagainya) harga cabai akan meningkat kerana permintaan meningkat. Kami tanam cabai musim kedua ni pun dengan sasaran supaya sebahagian daripada tempoh tuaian berada dalam tempoh musim perayaan tersebut. Keuntungan pasti dapat dimaksimakan.

Baru2 ni kami dapat maklumat yang menarik bahawa harga cabai (dan mungkin juga beberapa jenis sayuran lain) kebiasaannya meningkat di musim cuti sekolah. Esok lusa sekolah dah mula cuti. Mula2 terasa agak pelik bagaimana pula cuti sekolah pun boleh mempengaruhi harga sayuran... Rupanya setelah difikirkan, sebabnya adalah di musim cuti sekolah akan ada banyak kenduri kahwin. Jadi, di situlah sebenarnya yang memerlukan penggunaan cabai yang banyak untuk masak lauk kenduri, dan menyebabkan permintaan meningkat dan seterusnya harga pun naik. Kalau benar, memang peluang baik untuk tingkatkan keuntungan. §

Tuesday, May 20, 2014

Projek Fertigasi SMK Samagagah

Alhamdulillah kami diberi peluang untuk menyediakan lapangan fertigasi di SMK Samagagah Permatang Pauh dalam bulan ini.Berbekal sedikit pengalaman, kami telahpun menyediakan lapangan bagi 100 polibeg set fertigasi. Tanaman pertama adalah cili kulai 568.


Menurut siri mesyuarat bersama PK Koko Cikgu Nazirah Omar dan Pengetua Puan Rahmah Mat Saman, sekolah ini mempunyai banyak kawasan yang berupaya mengeluarkan hasil tanaman dari sayur-sayuran. Pengetua yang juga alumni Universiti Putra Malaysia sangat berminat untuk membangunkan model-model pertanian berskala kecil di kawasan sekolah.

Selain dari fertigasi SMK Samagagah juga membangunkan tanaman sayuran batas yang dengan dibantu oleh Jabatan Pertanian Daerah Seberang Perai Tengah yang diketuai Pegawai Pertanian Tuan Abdul Rani Hassan.

Bermula dengan gotong royong besar-besaran pihak sekolah dengan kami dan Jabatan Pertanian maka model-model ini telah pun dijalankan. Maka dari hari gotong royang anak pokok cili telahpun disemai dan bersedia untuk dipindahkan pada 23 May ini.

En Hakim dan staf SMK Samagagah 
Menarik juga kali ini sahabat kami En Mohd NorHakim pun turut serta dalam bersama-sama membangunkan model fertigasi di sekolah. Jadi kita tunggu Khamis ini untuk upacara pemindahan anak pokok.

Kawasan pembangunan model fertigasi SMK Samagagah
Semoga projek ini menjadi pemangkin dan menambah minat terutamanya para generasi muda untuk bersama-sama berperanan menjamin bekalan makanan negara.




Wednesday, May 14, 2014

Makanan dan Kekuatan dan Kekayaan

Zaman dulu kekayaan seseorang itu diukur dengan bentuk badannya... Lagi besar badan, lagi kaya... Kalau kurus kering tu tak kaya... Sebab kalau kaya, makan pun cukup, badan pun jadi besar... Namun, situasi zaman sekarang agak berbeza...

Makanan (dan air) itu adalah perkara paling penting sekali dalam kehidupan. Perkara lain adalah perlindungan (shelter) dan pakaian. Tapi tanpa pakaian dan perlindungan pun kehidupan masih boleh diteruskan. Sebaliknya tanpa makanan, kehidupan pasti akan terhenti.

Sejak dahulu lagi, zaman purba kala, peperangan berlaku akibat perebutan sumber makanan. Tanah dan kawasan jajahan yang berpotensi menghasilkan sumber makanan menjadi rebutan.

Kekuatan sesebuah negara bergantung kepada jumlah makanan yang dikuasainya, samada makanan tersebut dihasilkan di dalam negara itu sendiri, ataupun diperolehi dari negara lain. Sekuat mana pun ketenteraan, askar ramai, kapal dan kereta kebal banyak, namun tanpa makanan, kekuatan tersebut takkan berkekalan.

Kesedaran kepentingan makanan di waktu peperangan

Begitu juga dengan kekayaan. Sekaya mana pun sesebuah negara (begitu juga individu), banyak harta, emas dan intan, tetap tak berguna jika tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Memang betul, kalau ada banyak harta, boleh beli banyak makanan. Tapi kalau tiada sesiapa yang nak jual makanan, bagaimana? Emas dan intan tak boleh dimakan... Cara yang terbaik adalah dengan menghasilkan makanan sendiri. Dan pertanian adalah antara sumber penghasilan makanan yang paling utama.

Jadi, marilah kita sama2 tanamkan dalam minda kita bahawa pertanian itu adalah sangat penting untuk kesejahteraan negara. Kerana dengan pertanian, sumber makanan dapat dicukupi. Dan apabila makanan dicukupi, keamanan dan kesejahteraan dapat dikecapi. Bak kata orang, gendang gendut tali kecapi... §

Monday, May 12, 2014

Cabai di Kala Hujan

Musim panas sudahpun berlalu, sekarang hujan pun datang, 2 hari sekali, kadang-kadang tiap-tiap hari. Cabai , dikala musim hujan ni pun terkena serangan. Antara serangan yang selalu terjadi adalah serangan kulat. buah jadi lembik dan gugur.

serangan kulat dan kekurangan nutrien



Selain itu mozek juga dilihat kerap terjadi akibat perubahan cuaca mendadak.

Namun dengan prosedur biasa dan kekerapan seminggu sekali (sekali organik dan sekali racun), masalah ini boleh dikawal.

Pokok patah akibat hujan lebat

Panen (bahasa indonesia untuk tuaian) sudahpun tidak lama lagi. diharap semuanya baik-baik. Rezeki dari Tuhan.



Wednesday, April 30, 2014

Fertigasi dan Dripper Tersumbat

Dalam pertanian secara fertigasi, masalah penitis (dripper) tersumbat adalah sesuatu yang tak dapat dipisahkan umpama irama dan lagu...
Namun, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Atau paling tidak pun, pasti ada cara untuk mengurangkannya.

Punca utama dripper tersumbat adalah disebabkan adanya kekotoran di dalam saluran paip. Kekotoran akan tersekat di dripper dan menghalang air baja daripada keluar melaluinya kerana bukaan pada dripper yang amat kecil.

Kekotoran mungkin datang dari dalam tangki baja (pasir, tanah, serangga, dan sebagainya), atau daripada keladak yang terbentuk di dalam sistem paip itu sendiri akibat kepekatan baja dan tindakbalas terhadapnya dengan haba daripada pancaran matahari.

Punca lain mungkin disebabkan tekanan yang tidak sekata mengakibatkan sesetengah dripper tak berupaya untuk menitiskan air (sebab tekanan tak cukup kuat di dripper tersebut). Kesan sifon juga menyumbang dalam masalah ini di mana ruang2 udara terbentuk di dalam paip yang menyebabkan air baja tersekat2 dan lambat keluar melalui dripper. Secara teknikal, ini bukanlah bermaksud dripper tersebut tersumbat.

Pemasangan alat penapis (filter) pada sistem paip (sebelum atau selepas pam, sebelum sampai ke dripper) dapat mengurangkan masalah tersumbat akibat kekotoran yang datang dari dalam tangki.

Untuk mengatasi masalah kekotoran yang terbentuk akibat keladak, agak rumit, kerana keladak pasti akan terbentuk. Jadi, kita cuma boleh laksanakan sesuatu hanya untuk mengurangkannya sahaja.

Terdapat dua jenis dripper, iaitu pressure compensating, dan bukan pressure compensating. Jenis pressure compensating bermaksud kelajuan titisan adalah sekata walaupun tekanan berbeza. Kalau jenis yang bukan, air akan menitis laju bila tekanan tinggi, dan perlahan bila tekanan rendah.

Jenis pressure compensating ini lah yang biasa digunakan dalam pertanian fertigasi, dan yang ni jugalah yang mudah tersumbat. Sebabnya terdapat filter di bahagian penyambung di antara dripper tersebut dengan microtube bertujuan mengawal kelajuan titisan air. Filter ini lah yang halus bukaannya dan kotoran mudah tersekat di sini.

Dripper biasa, jenis pressure compensating

Jenis dripper yang bukan pressure compensating pula tiada filter dan bukaannya lebih besar, jadi masalah tersumbat kurang berlaku. Namun bukaan yang lebih besar ini menyebabkan kelajuan titisan yang sangat tinggi, seterusnya tekanan dalam paip menjadi berkurangnan dan tidak sekata. Rekabentuk sistem paip perlu dibuat dengan betul supaya kesan daripada masalah tekanan ini dapat dikurangkan.

Dripper hibrid menggunakan tiub kapilari 1mm (diameter lubang)

Penggunaan tiub kapilari 1mm juga dapat mengurangkan berlakunya masalah tersumbat. Ini dikira sama dengan dripper jenis bukan pressure compensating. Kami baru sahaja menggunakan tiub ini di beberapa polibeg sebagai ujikaji dripper hibrid untuk menangani masalah dripper tersumbat. Dripper hibrid menjimatkan kos sebab hanya menggunakan sedikit sahaja tiub kapilari, dan selebihnya menggunakan peralatan sedia ada (microtube 4mm, polypipe 16mm, sedikit gam).

Rekabentuk sistem paip mungkin juga sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengurangkan masalah dripper tersumbat.

Ujikaji: Bina paip yang disambungkan dari hujung barisan masuk semula ke dalam tangki supaya keladak dan gelembung udara yang terperangkap dalam sistem paip dapat dibebaskan. Keladak yang masuk semula ke dalam tangki akan ditapis semula dengan alat penapis, atau akan mendak ke dasar tangki, atau akan larut semula ke dalam air baja.

Cara lain adalah dengan mengepam air kosong mangikut jadual yang tertentu. Contohnya seperti berikut:

1) apabila air baja di dalam tangki telah habis, penuhkan tangki dengan air kosong
2) pamkan hanya air kosong ke pokok sepanjang satu hari (kekerapan biasa)

Atau:

1) pamkan  air baja di waktu pagi dan tengahari
2) pamkan hanya air kosong di waktu petang

Dengan cara ini, pembentukan keladak di dalam sistem paip mungkin dapat dielakkan atau mungkin keladak yang telah terbentuk dan terperangkap di dalam sistem paip dapat larut semula ke dalam air kosong.

Apa sahaja yang kita laksanakan, pasti akan ada halangan dan cabaran. Namun kita sendiri lah yang perlu berusaha untuk cari jalan penyelesaiannya. Dengan cabaran inilah yang membuatkan kita membesar dengan lebih kuat dan lebih bijak.

Bila ada halangan pokok tu jadi lebih kuat dan lebih bijak

Selamat maju jaya dalam fertigasi! §

Tuesday, April 22, 2014

Simptom kekurangan unsur Nutrien dalam tanaman

Pada musim yang lepas, terdapat kes terpencil dimana cili kulai 568 yang kami tanam kurang pedas. Jadi setelah melakukan siasatan ada beberapa finding yang kami dapat melalui nasihat Jabatan Pertanian dan sedikit bacaan. (Kalau salah atau ada pandangan lain bolehlah kita bincangkan):

1) Cili 568 memang tidak terlalu pedas berbanding cili yang lain.
2) Kekurangan unsur magnesium dalam baja.

Ok jadi hari ini kami nak bincangkan tentang unsur Magnesium ni.

Unsur Magnesium adalah salah satu unsur dalam baja set AB yang mana ianya terdapat pada Set B (Magnesium Sulfat)

Menerusi sumber bacaan kami, Magnesium membantu dalam fotosintesis pokok. Ianya sebagai penggalak atau pembantu enzim-enzim dalam tumbuhan. Jadi memang penting Magnesium ni.

Selain dari itu , jika Magnesium kurang dalam pokok , pokok akan menunjukkan simptom-simptom seperti daun yang tua berubah warna kuning dan daun melentik atau berputar ke atas.

Persoalannya adalah kadar kepedasan cili dengan magnesium ni adakah ada kaitan. ??


Untuk mengetahui kepentingan unsur-unsur lain dan kesannya terhadap pokok bolehlah rujuk di sini:

https://www.facebook.com/notes/1-malaysia-fertigation-group/nutrients/147626411977712

Terima Kasih.

Thursday, April 17, 2014

Jumlah Media dalam Polibeg Fertigasi

Dalam pertanian secara fertigasi, pokok ditanam di dalam polibeg dengan kuantiti media yang tertentu yang terkandung di dalam polibeg tersebut.

Media di dalam polibeg, ditanam dengan pokok timun

Jadi, jumlah dan keadaan media yang dimasukkan di dalam setiap polibeg adalah penting. Lagi banyak lagi bagus. Tapi kalau terlalu banyak, akan menjadi kurang praktikal dan ekonomikal.
Kalau jumlah media terlalu sedikit, kebolehannya untuk menampung air baja akan berkurangan. Air baja akan cepat tertiris keluar daripada polibeg pada setiap kali siraman. Sekiranya cuaca panas, air baja juga akan cepat menjadi kering. Ini akan mangakibatkan pokok yang ditanam tidak mendapat jumlah nutrien yang sepatutnya, dan pertumbuhannya akan terjejas.

Jumlah terbaik adalah apabila polibeg dilipat lebih kurang satu inci, kandungan media juga adalah satu inci daripada permukaan atas polibeg. Namun, berat keseluruhan polibeg yang telah diisi dengan media juga boleh digunakan sebagai kaedah untuk memastikan jumlah media yang mencukupi. Jika menggunakan media sabut, kadang2 kepadatan dan kadar kelembapan sabut tersebut berbeza, menyebabkan jumlah yang berbeza dimasukkan di dalam polibeg walaupun pada ketinggian yang sama.

Pastikan kepadatan dan kelembapan media adalah sama di dalam setiap polibeg di dalam ladang fertigasi, agar pertumbuhan setiap pokok adalah sekata secara keseluruhan.

Pertanian menggunakan kaedah fertigasi ini dapat mengurangkan pembaziran ke arah 'zero waste'. Ini adalah kerana air dan baja yang diberikan akan terkumpul di dalam polibeg dan tidak akan mengalir keluar (jika sukatan yang diberikan adalah betul). Jadi, pokok akan mendapat hampir kesemua air dan baja yang diberikan.

Berbanding dengan pertanian di atas batas, di mana baja dan air berkemungkinan mengalir keluar dan meresap ke dalam tanah dan tidak kesemuanya berupaya untuk diserap oleh pokok. §