Wednesday, October 31, 2012

Putik buah timun!

Harini sangat seronok sebab jumpa putik buah timun yang pertama! First born baby kami!


Jumpa pun secara tak sengaja dalam tengah dok belek-belek daun dan juga bunga-bunga yang dulu... Rupa-rupanya bunga yang ada buah timun ni bentuknya agak berbeza daripada bunga yang sebelum ni... Bunga yang ada buah ni tangkai dia gemuk sikit, yang mana bahagian gemuk tu la yang akan membesar menjadi buah timun nanti... Bunga ni pun tumbuh di bahagian-bahagian atas pokok timun... Bunga yang dulu kat bahagian bawah batang pokok pun dia ada tumbuh jugak... Kami sangkakan bunga-bunga yang sebelum ni yang akan membesar jadi timun... Rupanya ada bunga khusus...

Bila belek-belek lagi, ada jumpa beberapa lagi bunga putik buah timun... Tapi bahagian bunganya masih belum kembang lagi...



Semalam kami potong dahan-dahan dan daun-daun pokok timun yang di bahagian bawah batang pokok... Sekarang dah agak lapang di bahagian bawah berhampiran polybag, mudah sikit nak siram baja dan air secara manual... Harapnya yang kami potong-potong semalam takde yang terlebih potong sampai menjejaskan hasil timun...
Tiang baru dah pacak dan tali penampung pun ada yang dah ditegangkan, tapi baru buat kat sebahagian kecil barisan je... Petang ni baru nak tegangkan kat sebahagian yang lain... Gambar boleh tengok kat Page Kebun Kami... §

Tuesday, October 30, 2012

Kebun timun hari ini

Pagi tadi didapati pokok-pokok timun secara umumnya berada dalam keadaan segar. Sebab hujan pukul 12:00 tengah malam tadi...
Namun, terdapat beberapa batang pokok yang agak layu, tapi hanya sebahagian saja daun pada pokok berkenaan layu, yang lain segar. Barangkali akibat daripada 3 hari tak dapat penyiraman baja yang sewajarnya...


 Juga terdapat daun-daun yang macam terbakar...



Tidak dapat dipastikan samada keadaan daun terbakar ni adalah disebabkan oleh serangan penyakit, kekurangan air tempoh hari, panas terik sangat, ataupun disebabkan oleh kekurangan nutrisi. Jadi harini kami akan potong dan buang daun-daun yang macam terbakar tu, takut-takut kalau ianya penyakit yang boleh berjangkit ke pokok-pokok yang lain. En. Zamri juga nasihatkan supaya hapuskan saja keseluruhan pokok yang terlalu teruk mengalami masalah terbakar tu... Walaupun terasa sayang, namun kami terpaksa akur... Lebih baik hapuskan sedikit daripada kalau berjangkit, habis kena hapuskan lagi banyak...
Walaubagaimanapun didapati bunga-bunga timun pada pokok-pokok timun secara keseluruhannya masih lagi berada dalam keadaan baik. Sangat menterujakan...
Kami juga akan potong dan buang dahan-dahan pokok timun di bahagian bawah batang setiap pokok, bagi melapangkan sepanjang kira-kira satu kaki batang supaya tak banyak sangat dahan, agar mudah untuk melaksanakan penyelenggaraan dan juga penyiraman secara manual. Polybag-polybag yang ada lebih daripada satu pokok timun juga akan dibuang pokok-pokok yang paling kecil hanya menginggalkan satu pokok yang paling besar saja supaya depa tu tak berebut baja.

Jaring pun dah makin lendut...



Tali-tali penampung jaring akan ditegangkan balik menggunakan dua tali rafia berbanding hanya satu sekarang ni... Kalau guna hanya satu takut tak tahan, terputus pulak nanti... Belum ada buah timun lagi pun dah lendut, inikan pulak bila dah ada banyak buah berkilo-kilo nanti...
Satu lagi tiang kayu pun perlu dipacak jugak, sebab salah satu barisan tu terkurang satu tiang...

Sambil menulis ni, cuaca di luar hujan agak lebat dengan petir sabung menyabung... Kalau dah reda nanti boleh la terus laksanakan tugasan-tugasan tadi... Tapi kalau berlarutan sampai ke malam, terpaksa la tunda ke esok pagi... Pasti selesai!

Lawatan Agen Jabatan Pertanian Daerah SPU

Semalam kami mendapat kunjungan daripada En. Zamri bin Osman, Agen Pengembangan Kawasan Jabatan Pertanian Daerah SPU. Kami undang beliau untuk datang melawat kebun tanaman timun secara fertigasi kami bagi mendapatkan pandangan dan nasihat beliau mengenai kebun kami ini. Manalah tahu kalau-kalau ada salah silap atau tak betul cara...
Mula-mula beliau tinjau pokok limau kasturi pemberian beliau kepada kami beberapa minggu lepas yang telah kami tanam berhampiran dengan kawasan kebun fertigasi kami. (Beliau hadiahkan 10 (ke 11?) batang pokok yang masih di dalam polybag. Kami cuma tanam satu sahaja di sini. Selebihnya ditanam di kawasan rumah sahabat-sahabat kami yang lain.) Beliau gemburkan tanah di sekeliling pokok limau berkenaan.


Setelah tinjau pokok limau, beliau tinjau pokok timun pula...



Setelah selesai meninjau, beliau memberikan pandangan dan beberapa nasihat kepada kami, antaranya berkenaan dengan jarak tanaman, tanaman yang bermasalah atau berpenyakit, serangan serangga perosak, penggunaan buku log, penyelenggaraan, perihal rumput-rumput dan juga tanaman sekitar. Secara keseluruhannya, beliau memuji pokok-pokok timun berkenaan. Diharap pokok-pokok timun tercinta sekalian dapat mendengar dan turut merasa bangga terhadap pujian tersebut.
Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada  En. Zamri bin Osman atas kunjungan dan nasihat-nasihat yang beliau berikan. Pasti kami akan jemput beliau datang lagi di lain hari!

Sunday, October 28, 2012

Pokok timun layu

Harini dalam kesibukan berhari raya, salah seorang daripada sahabat sempat meninjau keadaan pokok-pokok timun tercinta di kebun fertigasi kami... Namun dukacita didapati sebahagian daripada pokok-pokok timun berkenaan sedang berada dalam keadaan yang agak layu...



Didapati media tanah di dalam polybag agak kering. Mungkin ramalan kaji cuaca yang diperhatikan semalam dan beberapa hari lalu agak kurang tepat, ataupun hujan ada juga turun tapi disulami dengan cuaca panas... Keadaan ini agak mengecewakan kami, lantas terus disiram pokok-pokok timun berkenaan dengan air bersama dengan kandungan baja yang dipetingkatkan sukatannya... Moga-moga pokok-pokok yang layu tu dapat disegarkan kembali dengan bekalan air yang baru diberikan tadi... Maafkan kami ya pokok-pokok timun tercinta...

Namun di sebalik perasaan kecewa tadi, kami turut berasa teruja melihat putik-putik bunga yang dijumpai tempoh hari sebahagiannya telahpun membesar menjadi bunga-bungaan kuning...



Dijangkakan dalam masa seminggu lagi, bunga-bungaan tersebut akan terus membesar menjadi timun-timun yang sejuk dan segar... Tak sabar... Pasti berhasil!

Saturday, October 27, 2012

Cuaca Pertanian

Dalam pertanian ni agak penting juga untuk memahami dan mengetahui perubahan dan ramalan cuaca... Semenjak tanaman fertigasi kami terpaksa ditinggalkan tanpa penyiraman baja secara manual, kami terpaksa berharap sepenuhnya kepada turunnya hujan sebagai sumber bekalan air dan nutrien kepada tanaman tersebut...

(gambar hiasan)

Setelah diperiksa ramalan kaji cuaca semenjak hari Khamis sehingga hari ini, didapati cuaca hujan... Alhamdulillah... Esok juga diramalkan hujan... Harapnya dengan turunnya hujan selama 3 harini ini adalah mencukupi untuk pokok-pokok timun kami membesar secara normal... Pasti sihat!

Friday, October 26, 2012

Putik bunga pokok timun

Kami ingin mengucapkan selamat hari raya Aidil Adha kepada semua.
Sepatutnya ni semalam punya kemaskini, tetapi disebabkan semalam agak sibuk, jadi tidak sempat nak buat kemaskini semalam... Jadi blog ni harini baru dikemaskinikan, termasuk harini punya kemaskini...



Semalam semasa sesi penyiraman pokok di waktu pagi, diperhatikan putik bunga timun sudah mula muncul pada pokok-pokok timun fertigasi... Agaknya dia sebenarnya dah mula muncul sehari dua yang lalu, tetapi baru semalam perasan... Mula-mula sebelum ni kami sangkakan putik-putik tu akan muncul di bahagian pucuk daun paling atas... Rupanya dia boleh muncul juga di cabang-cabang bahagian bawah batang pokok-pokok timun tu...
Kami pun agak teruja dengan kemunculan putik-putik tu...
Pada harini, disebabkan oleh sambutan hari raya Aidil Adha, kesemua sahabat-sahabat telah pulang beraya ke kampung halaman masing-masing... Jadi, tiadalah tenaga pembantu yang berkelapangan untuk membantu proses penyiraman secara manual pokok-pokok timun fertigasi kami yang tercinta tu... Keadaan ini akan berlanjutan sehingga ke hari Isnin... 3 hari tanpa baja... Hanya bergantung semata-mata kepada air hujan kurniaan Allah yang maha esa... Semoga mendapat perlindungan dan dipelihara oleh-Nya... Amin...

Wednesday, October 24, 2012

Seranggan perosak makan daun pokok timun

Sejak beberapa hari lalu, didapati daun-daun di beberapa pokok timun terdapat kesan dimakan ulat atau serangga. Sebelum ni kami tak berjaya jumpa lagi ulat atau serangga tu sedang beroperasi makan daun tu. Kami sangkakan belalang. Pagi ni baru jumpa serangga yang menyerang tu.


Maaf gambar kabur sebab pakai kamera iPod Touch je. Serangga tu berwarna oren, lebih kepada janis kumbang, bukan kutu. Daun yang dipengang dengan tangan tu terdapat hasil kerja serangan serangga tu. Cari-cari sekali lalu di daun-daun kesemua pokok-pokok timun lain tapi cuma jumpa sekor ni sahaja. Kami cuba cari di internet maklumat tentang apakah serangga perosak ni. Tapi tak jumpa pulak. Harapnya seranggan ni bukan spesifik menyerang dan merosakkan pokok timun, tetapi hanya sekadar singgah sebentar menumpang makan di sini dan berlalu pergi di esok hari. Anggapkan rezeki dia je lah. Jangan panggil kawan-kawan yang lain datang dah la.

Sehubungan dengan itu, kami dah kena mula rancangkan penggunaan racun serangga perosak bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih teruk kepada tanaman-tanaman pokok timun secara fertigasi yang tercinta ini. Pasti berjaya!

Tuesday, October 23, 2012

Sarang kerengga

Terdapat beberapa sarang kerengga di daun-daun di atas pokok jambu berhampiran dengan kawasan tanaman fertigasi kami.



Kurang pasti sama ada kerengga ni akan menjejaskan mutu hasil tanaman fertigasi timun ataupun tidak.
Sebelum ni memang didapati ada banyak kerengga yang merayap-rayap di atas tanah, di celah-celah rumput dan jugak di atas pagar dan tali ampaian kain. Tapi kebelakangan ni sejak polybag-polybag fertigasi dah disusun rapi dan tiang pun dah dipacak, jaring timun pun dah dipasang, didapati dah hampir takde langsung dah kerengga yang merayap-rayap. Cuma ada sikit-sikit je berhampiran dengan pokok jambu tadi.

Selamat Datang

Selamat datang ke blog kami.
Blog ini akan dimuatkan dengan maklumat-maklumat mengenai pertanian secara fertigasi yang diusahakan oleh kami sendiri dan juga senarai pengusaha-pengusaha tanaman fertigasi terutamanya di negeri Pulau Pinang.
Di sini juga kami akan cuba senaraikan sebanyak mungkin badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan atau terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak dalam meningkatkan kemajuan sektor pertanian, khususnya secara fertigasi, khususnya di negeri Pulau Pinang.

Di samping itu, kami juga ada menawarkan beberapa produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan tanaman secara fertigasi kepada sesiapa yang berminat. Jenis, kepelbagaian dan kuantiti produk yang kami tawarkan akan dikemaskinikan dari masa ke semasa.