Thursday, January 30, 2014

Pembersihan Kebun

Sekarang sesudah cycle tanaman habis, kerja baru menanti iaitu kerja-kerja pembersihan kawasan kebun. Kerja-kerja ini yang kadang kadang menyumbang kepada putus asa. Ini mungkin akibat bila ianya tiada perancangan yang teliti dan sebab yang lebih besar ialah hasil yang tidak memuaskan dari musim pertama.



Oleh yang demikian, perancangan dan pengurusan kebun ini harusla dilakukan dengan baik agar kerja-kerja ini tidak terputus di tengah jalan atau dengan kata lain tergendala akibat motivasi yang rendah.

Untuk itu antara yang boleh kami cadangkan untuk menaikkan motivasi ini seperti:

1) Rancangan yang baik dari semaian benih ke pembersihan. Contohnya, masa yang ada sementara menunggu anak semaian naik digunakan sepenuhnya untuk pembersihan. Jika tanaman cili sebulan contohnya.

2) Menggunakan sistem yang berdaya tahan seperti sokongan yang tahan lama strukturnya seperti besi . Ini supaya struktur-struktur ini dapat bertahan beberapa musim tanpa perlu penyelenggaraan yang kerap.

3) Membuka kebun untuk lawatan luar agar ada pandangan dan motivasi yang boleh diterima dari orang luar.

4) Mendapatkan bantuan dari orang lain yang sedikit banyak meringankan beban kita.

Bagi tanaman cili yang kami usahakan, untuk kerja-kerja mencabut pokok dari polibeg, kami membiarkan pokok-pokok ini kering dahulu. Setelah itu dahan pokok di potong dan hanya batangnya sahaja di biarkan. Setelah pokok kering akar-akarnya akan lebih mudah tercabut dari media.

Oleh kerana pokok yang dicabut sudah kering, jadi sisa tanaman ini dilupuskan dengan cara membakar.


PELAJARAN

Selain itu, kitta juga boleh belajar lebih lagi mengenai tanaman seperti keupayaan struktur kebun, serangga dan media tanaman. Berikut antara yang kami dapat belajar.


Polibeg yang tidak UV protected akan mudah koyak setelah beberapa musim
Terdapat serangga yang bersarang di akar pokok


Tuesday, January 21, 2014

Hasil Musim Pertama

Harini kami telah tamatkan musim pertama penanaman cili secara fertigasi di kebun kami. Kami petik kesemua cili2 yang ada di pokok termasuk yang masih hijau, kemudian kami akan hentikan siraman air baja dan biarkan sehingga pokok menjadi kering. Hasil tuaian terakhir ini kami akan asingkan yang hijau dengan yang merah dan akan kami jual mengikut harga masing2 jika ada perbezaan harga di antara cili hijau dengan cili merah.

Gambar hiasan: Kebun kami suatu waktu dahulu

Berikut adalah analisa hasil tuaian sepanjang satu musim.

Bilangan polybag: 300
Bilangan pokok: 600 batang
(2 pokok dalam 1 polybag)

Tempoh tuaian: 103 hari
Jumlah Berat Tuaian: 404.57 kg
Purata Berat: 674 gram per pokok


Pemerhatian

Hasil yang diperolehi adalah kurang daripada sasaran. Sepatutnya hasil yang baik adalah sekitar 2 kg hingga 4 kg per pokok.

Dua faktor utama (teori) yang kami jangkakan penyebab adalah seperti berikut:

1) Jarak antara pokok terlalu rapat
Susunan polybag adalah mengikut jarak yang sesuai untuk tanam satu pokok dalam satu polybag. Bila tanam dua pokok, jadilah terlalu rapat dan sempit ruang di antara pokok tu. Bila rapat dan sempit, menyebabkan kurang berlakunya proses pendebungaan (serangga dan tiupan angin susah masuk celah2). Bila kurang pendebungaan, bunga pun banyak yang gugur dan tak membesar menjadi buah cili...

2) Jumlah baja yang tidak mencukupi
Jumlah media sabut yang kami isikan di dalam polybag adalah agak sedikit. Lapisan media yang nipis itu menyebabkan ianya cepat penuh oleh larutan air baja yang disalurkan ke dalam polybag dan tertiris keluar melalui bahagian bawah polybag. Setiap titisan yang tertiris keluar adalah satu kerugian, dan menyebabkan pokok tidak mendapat jumlah baja yang sepatutnya.
Jika cuaca panas, media juga akan cepat kering menyebabkan larutan baja sukar untuk diserap dengan sempurna oleh akar pokok.

Selain daripada itu, serangan makhluk perosak, kulat dan virus juga memainkan peranan dalam kekurangan penghasilan yang berlaku ini.

Cili yang diserang perosak

Kami akan cuba atasi masalah2 ini dalam penanaman musim kedua yang akan dimulakan tidak lama lagi. Jumlah polybag akan ditingkatkan kepada 600, dan kali ni kami akan tanam satu pokok dalam satu polybag (jumlah pokok tetap sama, 600 batang). Media sabut juga kami akan tambahkan di dalam setiap polybag. §

Wednesday, January 15, 2014

Jenis-jenis dripper (Penitis) Fertigasi

Antara alatan fertigasi yang utama didalam sistem fertigasi adalah dripper ataupun penitis air. Dripper ini kegunaannya adalah sebagai penghubung antara sistem piping dan polibeg, selain fungsinya menyalurkan air secara titisan ke polibeg, ianya juga berfungsi sebagai penyeragam tekanan air dari pam. Terdapat beberapa jenis dripper yang boleh didapati di pasaran. Kali ini kami akan kongsikan beberapa kelebihan dan kekurangan jenis-jenis dripper ini.

1. Dripper jenis lurus dan memecahkan kederasan air dari paip utama.




Kebaikan: kandungan bekalan air/nutrien menjadi titisan kecil dan sekata.

Keburukan: Selalu terjadinya tersumbat kerana size laluan air pada dripper yang kecil.

Selain dari dripper ini, terdapat juga dripper yang mempunyai fungsi yang sama tetapi berbentuk L. dengan bentuk L, air/nutrien akan di hantar ke media dengan cara melintang.






2. Dripper jenis lurus dengan kederasan air/nutrien yang laju



Kebaikan: Masalah tersumbat akan dapat dikurangkan dengan jenis ini. Dan air / nutrien akan dapat disalurkan ke media dengan lebih cepat jadi menjimatkan elektrik.

Keburukan: Tekanan air/ nutrien perlu di sekatakan melalui penggunaan valve dan nipple yang berbentuk disc bagi mengurangkan tekanan air.


3. Tidak menggunakan dripper tetapi menggunakan pipe 16mm yang dipotong pendek.


Kebaikan: Boleh kurangkan kos dengan langsung tidak menggunakan dripper.

Kebaikan: Sukar mengawal tekanan air. Tetapi tiada masalah jika jumlah polibeg yang diusahakan tidak terlalu banyak.

Kesemua dripper di atas adalah untuk kegunaan microtube 2 mm. Selain dari jenis-jenis ini terdapat juga dripper dari microtube 1 mm yang juga terdapat beberapa jenis lagi.

Kami telahpun menggunakan ketiga-tiga jenis dripper (selain no 1 bentuk L) dan masih lagi awal untuk menyimpulkan yang mana yang paling baik dan yang mana yang paling tidak.

Melalui pengalaman, untuk mengurangkan kadar kerja adalah bagus untuk memilih dripper yang tidak selalu tersumbat, ini kerana dripper yang selalu tersumbat akan mengakibatkan pokok layu dan mungkin dalam tidak sedar ianya boleh mati.

Selain dari itu perlulah juga mempertimbangkan agar tekanan air dan pengaliran baja optimum bermaksud tiada yang terbazir akibat air/nutrien yang dibekalkan ke polibeg terlalu banyak atau deras yang mengakibatkan media tidak dapat menampung dan air/baja keluar. Ini juga secara tidak langsung mengkaibatkan kerugian.

Sunday, January 5, 2014

Struktur Perlindungan Hujan (SPH)

Pertanian secara fertigasi biasanya dikaitkan dengan penggunaan Struktur Perlindungan Hujan (SPH). SPH adalah struktur bumbung yang melindungi tumbuhan yang ditanam di bawahnya daripada hujan lebat dan pancaran cahaya matahari yang terik.

Contoh SPH pertanian fertigasi

Biasanya bahagian bumbung SPH diperbuat dengan menggunakan bahan plastik yang mempunya lapisan perlindungan UV. Rangkanya diperbuat daripada batang atau paip besi, kayu, plastik, ataupun bahan2 lain yang kukuh. Saiznya juga adalah pelbagai, mengikut kesesuaian tapak pertanian dan juga kos. Kadangkala SPH juga dipasangkan dengan jaring kalis serangga sebagai dinding bagi mengawal serangan serangga perosak.

Perlindungan daripada pancaran UV cahaya matahari dapat mengelakkan tanaman daripada terlalu cepat layu. Perlindungan daripada hujan pula dapat mengelakkan atau mengurangkan serangan penyakit yang diakibatkan oleh kulat. Disamping itu, perlindungan hujan juga dapat memastikan baja ataupun semburan racun perosak yang diberikan kepada tanaman tidak tiris dan terbilas. Kalau terbilas, akan menyebabkan tanaman tidak mendapat jumlah baja yang mencukupi ataupun keberkesanan racun tidak tercapai. 

Walaubagaimanapun, di dalam pertanian secara fertigasi, penggunaan SPH bukanlah satu kemestian. Boleh juga dilakukan secara terbuka. Kuantiti dan kualiti hasil tanaman yang baik masih lagi boleh dicapai tanpa menggunakan SPH sekiranya dilaksanakan dengan cara yang betul dan teliti.

Kebun fertigasi kami tanpa menggunakan SPH

Terdapat juga beberapa keburukan dalam penggunaan SPH. Antaranya, kos yang tinggi dan tempoh pemasangan yang lama menimbulkan tekanan pada permulaan projek dan melambatkan tempoh pulangan modal. Kos penyelenggaraan juga adalah tinggi sekiranya berlaku kerosakan, contohnya jika bumbung plastik bocor. Disamping itu, hujan dan serangga juga adalah agen pendebungaan yang penting. Jadi, penggunaan SPH yang melindungi tanaman daripada hujan dan serangga secara tidak langsung mungkin menyebabkan proses pendebungaan terjejas, seterusnya akan mengurangkan hasil yang diperolehi.

Namun begitu, kebaikan dan keburukan ini bolehlah diseimbangkan agar dapat memenuhi keperluan dan kemampuan masing2, seterusnya dapat mencapai pendapatan yang paling lumayan serta tempoh pulangan modal yang paling segera. §