Tuesday, March 25, 2014

Lawatan Program Usahawan Tani Pelapis Belia (P.Pinang) ke Perlis

Baru-baru ini satu lawatan ke Perlis bagi peserta Program Usahawan Tani Pelapis peringkat belia telah diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada projek skala besar dan idea-idea keusahawanan tani yang pelbagai.

Lawatan disertai oleh 8 orang peserta PUTP, 2 orang pegawai daripada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP), dan seramai 7 orang urusetia daripada Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia.

Para peserta telah mula berkumpul di perkarangan Kuarters Pertanian Pasir Gebu seawal jam 7 pagi. Sarapan nasi lemak dan kopi o telah disediakan kepada semua yang menyertai lawatan ini. Sambil menunggu untuk berlepas ke Perlis, peserta bersembang santai bersama Pegawai Pertanian APK (Agen Pengembangan Kawasan) En. Zamri Bin Osman. Antara topik utama adalah berkenaan insentif-insentif yang disediakan (untuk memulakan atau menaiktaraf projek pertanian) oleh badan-badan berkaitan pertanian termasuk Jabatan Pertanian sendiri.

0830 Berlepas ke Perlis dengan 2 kenderaan yang disediakan oleh pihak JPNPP dan juga Yayasan.

0915 Agenda pertama adalah singgah di Merbok, Kedah, untuk lawatan ke ladang penternakan ayam telur yang diusahakan oleh En. Shahril. En. Shahril memberikan taklimat mengenai ladangnya, diikuti dengan sesi soal jawab. Selepas itu, peseta diberi peluang untuk masuk dan lihat sendiri ladang ternakan tersebut, serta melihat mesin penggredan telur beroperasi.

Ladang ayam telur


Antara fakta mengenai perusahaannya & aktiviti penternakan ayam:
- telah beroperasi selama 2 tahun, kini ayam generasi kedua
- bermula dengan 3,000 ekor, sekarang tinggal 2,800 ekor (sebahagian mati akibat penyakit)
- seekor ayam bertelur sebiji sehari (purata hasil sehari 75-85% daripada jumlah ayam)
- telur gred AA hingga gred E bergantung kepada berat
- kos makanan ayam lebih kurang 14 sen seekor sehari
- cabaran pemasaran di awal projek, tapi sekarang permintaan telah melebihi pengeluaran
- perlu ada nekad dan ilmu untuk berjaya

1000 Cenderahati disampaikan kepada En. Shahril dan perjalanan diteruskan ke Pauh, Perlis.

1200 Tiba di Kampung Paya Guring, Pauh, Perlis. Rombongan disambut oleh sahabat dari pasukan Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia bahagian Perlis dan Pengerusi JKKK Kg. Paya Guring, Tuan Haji Romli Bin Haji Hassan. Peserta terus dibawa ke ladang penternakan kelulut di kawasan kebun kelapa berhampiran di mana terdapat lebih kurang 100 rumah sarang kelulut di situ.

Taklimat mengenai penternakan kelulut disampaikan oleh En. Ali Imran dan En. Nur Haq dari pasukan Yayasan di sana. Terdapat beberapa perbezaan dan persamaan berbanding dengan kaedah yang dilaksanakan oleh penternak kelulut lain yang telah dikunjungi sebelum ini.

Setelah taklimat, peserta berpeluang untuk menyedut sendiri madu kelulut terus dari sarangnya dengan menggunakan penyedut minuman.

Kata-kata aluan

Taklimat penternakan kelulut

Sarang kelulut yang kemas dan rapi

Setelah sarang dibuka, madu kelulut disedut dengan 'straw'

Setelah itu, peserta rombongan disajikan dengan minuman air kelapa pandan yang segar yang buahnya dipetik terus daripada pokok-pokok yang terdapat di dalam kebun kelapa tersebut. Setelah airnya diminum, buahnya dibelah dan isinya pula dimakan.

Air kelapa pandan, lepas minum air, makan isinya pula

1325 Setelah selesai aktiviti di ladang penternakan kelulut, rombongan bergerak ke Bilik Gerakan Desa Wawasan Kampung Paya Guring untuk aktiviti seterusnya. Peserta menyempurnakan solat dahulu di surau yang disediakan sebelum taklimat dimulakan.

1400 Peserta ditayangkan dahulu dengan slideshow mengenai aktiviti Kayuhan Perpaduan Nasional 2013 yang berlangsung di Langkawi sementara menunggu kesemua peserta selesai solat.

1415 Majlis seterusnya dimulakan, iaitu sesi taklimat oleh Tuan Haji Romli mengenai Kg. Paya Guring dan juga perkongsian mengenai memartabatkan bangsa dan negara. Seterusnya diikuti oleh taklimat daripada En. Zamri mengenai kerjasama JPNPP dengan Yayasan dan ucapan penghargaannya.

Kata-kata aluan

Tuan Haji Romli menyampaikan taklimat

1440 Selesai sesi tersebut, tiba waktu makan yang dinantikan. Makanan yang disediakan ala kampung memang menyelerakan. Ringkas namum lazat dan berkhasiat.

Ringkas tapi sedap dan berkhasiat

1505 Selepas selesai makan, secara santai peserta disampaikan oleh En. Azlan, Koordinator pasukan Yayasan di Perlis tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan di Kg. Paya Guring. Antaranya projek VTC (Village Transformation Center) yang bermatlamat memajukan ekonomi kawasan kampung dengan konsep perhotelan sambil mengekalkan identiti kampung tanpa menenggelamkannya dalam arus kemodenan.

Seterusnya disampaikan secara ringkas mengenai proses pertanian rock melon skala besar oleh En. Hasnan.

Setelah selesai sesi taklimat, sebelum meninggalkan Kg. Paya Guring, rombongan menyampaikan cenderahati kepada Tuan Haji Romli sebagai tanda penghargaan.

Penyampaian cenderahati

1550 Mula bergerak menuju ke ladang fertigasi rock melon Bintong yang diusahakan oleh pasukan Yayasan di Perlis.

1605 Dalam perjalanan ke ladang, peserta singgah sebentar di sebuah gerai yang menjual mempelam harum manis serta produk-produk sampingan yang lain. Peserta juga mengambil peluang menjamu pulut dan jus asli mempelam harum manis.

Gerai mempelam harum manis

1630 Sampai di ladang fertigasi rock melon Bintong. Namun pada waktu lawatan, ladang tersebut baru sahaja habis musim tuaian dan kesemua pokok telah dilupuskan. Keadaannya kosong tetapi kemas dan terurus. Namun masih banyak yang dapat dipelajari mengenai pertanian fertigasi skala besar walaupun tanpa kehadiran pokok-pokoknya..

Ladang fertigasi rock melon Bintong

 Taklimat penanaman rock melon secara fertigasi

Taklimat mengenai perusahaan rock melon skala besar disampaikan oleh En. Hasnan dan En. Nur Haq. Sesi lebih menjurus kepada sesi soal jawab di mana para peserta banyak bertanyakan soalan untuk dijelaskan oleh pihak Yayasan Perlis. Sejarah bagaimana bermulanya projek berkenaan juga disentuh sedikit sebanyak di dalam taklimat tersebut.

Antara perkara yang dibincangkan adalah sistem paip yang digunakan, sistem SPH (Struktur Pelindung Hujan), pengurusan kewangan dan tenaga kerja, peringkat pembesaran tanaman rock melon dan banyak lagi.

Sesi bergambar sebelum berangkat pulang


1805 Setelah selesai, peserta bergerak  untuk pulang kembali ke Pulau Pinang.

2030 Selamat tiba semula di Kuarters Pasir Gebu.



Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam usasama menjayakan lawatan PUTP ini:

Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang
En. Zamri Bin Osman
Yayasan Al-Tarbiyah bahagian Perlis
JKKK Kg. Paya Guring
Tuan Haji Romli Bin Haji Hassan
En. Syaril
Para peserta PUTP

Wednesday, March 19, 2014

Pemindahan Anak Pokok Semaian Cili ke Polibeg

Untuk kali ini kami akan kongsikan bagaimana untuk memindahkan anak pokok cili semaian ke polibeg. Teknik pemindahan ini penting juga untuk membantu pembesaran pokok yang baik dan juga mengelakkan beberapa masalah yang akan timbul. Antara masalah yang akan timbul jika pemindahan yang dilakukan ialah lecung batang dan pokok cepat layu.

Ok, pertama sekali untuk memindahkan anak pokok dari tray semaian ke polibeg setelah umur anak pokok mencecah 30 -35 hari memerlukan konsentrasi untuk mengelakkan anak pokok yang masih lembut batang dan akarnya rosak akibat kecuaian.

Berikut kami listkan langkah2 untuk pemindahan.

1) Untuk mencabut anak pokok dari tray semaian, bahagian bawah tray di picit dengan perlahan-lahan (jangan sampai kemek tray semaian supaya boleh diguna pakai lagi di kemudian hari), pegang dan goyang pangkal batang anak pokok, dan tarik perlahan-lahan sehingga anak pokok terkeluar bersama dengan kesemua media (yang dipegang oleh akar anak pokok) dari dalam tray. Pastikan tiada akar yang terputus semasa proses ini. Pokok akan cepat layu dan mati kalau ada akar yang putus.


2) Anak pokok ini kemudiannya di bawa ke polibeg yang hendak di pindahkan.

3) Pastikan lokasi pokok adalah berdekatan dengan dripper dan di tengah polibeg bagi menggalak pergerakan akar.


4) Bahagian pokok dan media dari tray semaian (peat moss) mestilah di tanam sekali di dalam media (sabut kelapa) polibeg. Jangan tanam anak pokok yang tak berjaya dicabut bersama dengan kesemua sekali media semaian.

5) Pastikan pokok tegak dan angin tidak mengganggu kedudukan pokok. Padatkan media polibeg di sekeliling media semaian supaya tiada ruang kosong di antara media semaian dan media polibeg agar pokok tegap dan larutan air baja daripada dripper dapat sampai ke akar pokok degan lebih sempurna serta akar pokok dapat menjalar dengan lebih cekap.





Bagi menggalak pertumbuhan pokok, pastikan dripper berada pada lingkungan zon akar anak pokok iaitu ianya bersentuhan dengan media semaian yang dicabut berserta dengan anak pokok dari dalam tray semaian tadi.

Untuk mengelak lecung batang akibat asid dari sabut kelapa pula, pastikan sabut kelapa tidak bersentuh dengan batang pokok. Kebanyakan masalah lecung batang adalah akibat dari sabut kelapa yang berasid dan cuaca panas.

Untuk menghadapi cuaca panas, lakukan semburan dan dripkan air kosong selalu kepada pokok-pokok.

Jadi, inilah yang dapat kami kongsikan kali ini. Semoga ianya memberi manfaat.

Wednesday, March 12, 2014

Kompos Sebagai Media Fertigasi

Bolehkah kompos digunakan sebagai media dalam tanaman secara fertigasi?
Baru-baru ni kami buat ujikaji menyediakan kompos daripada bongkah cendawan terpakai bersama dengan para peserta PUTP. Kompos tersebut akan kami gunakan sebagai media dalam polybag bagi tanaman secara fertigasi kami. Sebelum ni kami tak pernah buat lagi kompos macam ni, sebab itulah kami anggap ianya sebagai ujikaji.

Bongkah cendawan terpakai

Bahan2 yang diperlukan:
1) Bongkah cendawan terpakai
2) Baja tahi ayam
3) Alat penyukat (baldi atau gayung)
4) Air

Kaedah:
1) Sukat 20 bahagian serbuk bongkah cendawan terpakai
2) Sukat 1 bahagian baja tahi ayam
3) Campur dan gaul kedua2 bahan sehingga sebati
4) Basahkan campuran tadi dengan air sehingga boleh dikepal2
5) Kumpulkan dan tutup dengan guni atau plastik (atau simpan dalam tong bertutup)
6) Tunggu sekurangnya sebulan sehingga warna menjadi hitam

Campuran yang telah digaul

Ada juga pengusaha yang dah pernah buat kompos macam ni, tapi tak ramai yang gunakannya semula sebagai media fertigasi. Mereka yang pernah gunakannya sebagai media fertigasi megatakan dapat memperolehi hasil yang lebih tinggi berbanding menggunakan media biasa.

Oleh sebab itu, kami sendiri akan cuba gunakan kompos ni sebagai media dalam beberapa polybag (sasaran 50 polybag) di kebun fertigasi kami untuk penanaman cili pada musim akan datang tak lama lagi. Kemudian kami akan bandingkan hasil yang diperolehi daripada pokok2 tersebut dengan pokok2 yang menggunakan media sabut kelapa. Kalau hasilnya memuaskan, mungkin kami akan perluaskan lagi penggunaannya sebab kami ada banyak bongkah cendawan terpakai.

Habuk kayu daripada bongkah cendawan juga boleh digunakan sebagai media fertigasi dengan sendirinya tanpa dijadikan kompos terlebih dahulu. Walaubagaimanapun ia perlulah dirawat terlebih dahulu dengan racun kulat dan larutan anti bakteria agar ianya bersih daripada bakteria dan benih2 kulat yang kelak mungkin akan merosakkan pokok yang ditanam. Yang ini pun kami akan cuba juga dan perhatikan hasilnya.

Sebenarnya media yang digunakan dalam polybag tidak perlu mempunya nutrien. Lebih bagus kalau tiada nutrien langsung. Sebab kesemua nutrien yang diperlukan oleh pokok telahpun dibekalkan di dalam larutan baja yang disediakan. Media hanyalah diperlukan sebagai tempat untuk memegang akar pokok dan menampung air. Kos yang murah dan mudah untuk diperolehi juga adalah kriteria yang penting. Jadi, media yang sesuai untuk fertigasi adalah seperti berikut:

Habuk Sabut Kelapa
Kadar pegangan air tinggi, tempoh kegunaan tinggi (anggaran 6-8 musim).
Disebabkan kandungan air yang tinggi, agak kurang sesuai untuk digunakan di musim hujan. Kerana jika media terlalu lembap, risiko serangan kulat akan meningkat. Sesetengah pokok seperti cili juga akan terjejas sekiranya bahagian akarnya basah di waktu malam.

Arang Sekam Padi
Pegangan air rendah, tempoh kegunaan rendah (anggaran 2-4 musim)
Sesuai untuk digunakan di musim hujan. Tapi di musim panas, kena kerap siram pokok dengan air sebab kadar pegangan air media jenis ini adalah rendah.
Kadar pereputan yang tinggi menyebabkanya menjadi kurang sesuai untuk digunakan setelah beberapa musim.

Campuran 50:50 (atau sebarang nisbah yang lain)
Pegangan air normal, had kegunaan rendah (anggaran 3-5 musim)
Kalau nak selamat, gunakan campuran sekam dan sabut. Sesuai digunakan di musim panas mahupun di musim hujan. Namun, proses penyediaannya agak merumitkan sebab kedua2 media sabut dan juga sekam perlu digaul terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam polybag.


Jenis polybag

Putih
Jenis ini kebiasaannya nampak lebih menarik dan cantik. Warna putih yang memantul cahaya matahari meyebabkannya kurang panas. Namun ianya agak cepat reput dan rosak.

Polybag putih berisi media campuran sabut dan sekam
berserta anak pokok timun

Hitam
Sebaliknya, jenis hitam agak lebih tahan lama. Walau bagaimanapun, disebabkan warnanya yang gelap menyerap cahaya, ianya menjadi panas di bawah sinaran matahari dan mungkin akan meyebabkan akar pokok yang bersentuhan dengan permukaan dalamnya melecur dan menjejaskan kesihatan pokok tersebut. Namun ketahanannya yang tinggi menjadikan ianya lebih ekonomikal dalam jangka masa yang panjang.

Polybag hitam berisi media campuran sabut dan sekam
berserta anak pokok timun

Bantal
Ada juga jenis polybag yang berbentuk seperti bantal yang diisi di dalamnya dengan media sehingga penuh dan ditebuk lubang di bahagian atasnya untuk meletakkan pokok dan dripper. Sesuai untuk tanaman yang memerlukan media yang lembat sepanjang masa kerana bentuknya yang tertutup menyebabkan air bertakung di dalamnya dan lambat menjadi kering.

Dari segi harga, tiada perbezaan yang ketara di antara jenis2 polybag, sebaliknya harga adalah bergantung kepada saiz polybag berkenaan.


Setiap jenis polybag dan juga media mempunya kelebihan dan kekurangan masing2. Jadi terpulanglah kepada pengusaha tanaman fertigasi untuk membuat penialaian sendiri bekenaan pilihan yang akan digunapakai di kebun dan ladang fertigasi masing2. Namun, secanggih mana pun kelengkapan dan peralatan yang digunakan, kejayaan dalam pertanian tidak akan dapat dicapai hanya dengan itu sahaja. Perlulah disertakan dengan ilmu, usaha dan istiqomah. Selamat maju jaya dan salam fertigasi! §

Monday, March 3, 2014

Kesan kelembapan pada pokok cili

Hari ini kami akan kongsikan simptom yang terjadi pada pokok cili saudara Hakim di Kulim.

Simptom ini terjadi akibat dari kelembapan yang tinggi pada media dan menyebabkan pokok tidak sihat. Ini adalah kesan daripada pancuran air baja dari dripper yang terlalu banyak dan kerap.

Simptom ini terjadi akibat dari langkah kami untuk menukar keseluruhan dripper kebun kepada dripper jenis baru yang mana dripper lama selalu tersumbat. Selain itu, kerana cuaca yang terlalu panas, jadi kekerapan siraman ditambah.

Simptom-simptom yang berlaku kepada pokok adalah seperti berikut:

1. Pucuk baru yang keluar terbantut dan menunjukkan warna kuning.


Pucuk terbantut dan berwarna kuning


2. Bunga yang terhasil gugur.
3. Pokok terbantut.

Akar pokok yang dijangkiti tidak berkembang.

Setelah mendapatkan nasihat dari pakar-pakar dan jabatan Pertanian, kami telah mengenalpasti ianya adalah akibat dari media yang terlalu lembab. Untuk itu, langkah pencegahan dari terkena kepada pokok-pokok lain adalah seperti berikut:

1. EC baja dikurangkan sedikit, dengan menambah lebih air kosong.
2. Pokok yang terkena simptom dibuang.
3. Kekerapan pembajaan dikurangkan.
4. Menambah Calcium Boron pada semburan racun.

Alhamdulillah simptom tidak berpanjangan. Semoga langkah dan simptom ini bermanfaat pada usahawan tani yang lain yang membaca. Terima Kasih