Lawatan disertai oleh 8 orang peserta PUTP, 2 orang pegawai daripada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP), dan seramai 7 orang urusetia daripada Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia.
Para peserta telah mula berkumpul di perkarangan Kuarters Pertanian Pasir Gebu seawal jam 7 pagi. Sarapan nasi lemak dan kopi o telah disediakan kepada semua yang menyertai lawatan ini. Sambil menunggu untuk berlepas ke Perlis, peserta bersembang santai bersama Pegawai Pertanian APK (Agen Pengembangan Kawasan) En. Zamri Bin Osman. Antara topik utama adalah berkenaan insentif-insentif yang disediakan (untuk memulakan atau menaiktaraf projek pertanian) oleh badan-badan berkaitan pertanian termasuk Jabatan Pertanian sendiri.
0830 Berlepas ke Perlis dengan 2 kenderaan yang disediakan oleh pihak JPNPP dan juga Yayasan.
0915 Agenda pertama adalah singgah di Merbok, Kedah, untuk lawatan ke ladang penternakan ayam telur yang diusahakan oleh En. Shahril. En. Shahril memberikan taklimat mengenai ladangnya, diikuti dengan sesi soal jawab. Selepas itu, peseta diberi peluang untuk masuk dan lihat sendiri ladang ternakan tersebut, serta melihat mesin penggredan telur beroperasi.
Ladang ayam telur
Antara fakta mengenai perusahaannya & aktiviti penternakan ayam:
- telah beroperasi selama 2 tahun, kini ayam generasi kedua
- bermula dengan 3,000 ekor, sekarang tinggal 2,800 ekor (sebahagian mati akibat penyakit)
- seekor ayam bertelur sebiji sehari (purata hasil sehari 75-85% daripada jumlah ayam)
- telur gred AA hingga gred E bergantung kepada berat
- kos makanan ayam lebih kurang 14 sen seekor sehari
- cabaran pemasaran di awal projek, tapi sekarang permintaan telah melebihi pengeluaran
- perlu ada nekad dan ilmu untuk berjaya
1000 Cenderahati disampaikan kepada En. Shahril dan perjalanan diteruskan ke Pauh, Perlis.
1200 Tiba di Kampung Paya Guring, Pauh, Perlis. Rombongan disambut oleh sahabat dari pasukan Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia bahagian Perlis dan Pengerusi JKKK Kg. Paya Guring, Tuan Haji Romli Bin Haji Hassan. Peserta terus dibawa ke ladang penternakan kelulut di kawasan kebun kelapa berhampiran di mana terdapat lebih kurang 100 rumah sarang kelulut di situ.
Taklimat mengenai penternakan kelulut disampaikan oleh En. Ali Imran dan En. Nur Haq dari pasukan Yayasan di sana. Terdapat beberapa perbezaan dan persamaan berbanding dengan kaedah yang dilaksanakan oleh penternak kelulut lain yang telah dikunjungi sebelum ini.
Setelah taklimat, peserta berpeluang untuk menyedut sendiri madu kelulut terus dari sarangnya dengan menggunakan penyedut minuman.
Kata-kata aluan
Taklimat penternakan kelulut
Sarang kelulut yang kemas dan rapi
Setelah sarang dibuka, madu kelulut disedut dengan 'straw'
Setelah itu, peserta rombongan disajikan dengan minuman air kelapa pandan yang segar yang buahnya dipetik terus daripada pokok-pokok yang terdapat di dalam kebun kelapa tersebut. Setelah airnya diminum, buahnya dibelah dan isinya pula dimakan.
Air kelapa pandan, lepas minum air, makan isinya pula
1325 Setelah selesai aktiviti di ladang penternakan kelulut, rombongan bergerak ke Bilik Gerakan Desa Wawasan Kampung Paya Guring untuk aktiviti seterusnya. Peserta menyempurnakan solat dahulu di surau yang disediakan sebelum taklimat dimulakan.
1400 Peserta ditayangkan dahulu dengan slideshow mengenai aktiviti Kayuhan Perpaduan Nasional 2013 yang berlangsung di Langkawi sementara menunggu kesemua peserta selesai solat.
1415 Majlis seterusnya dimulakan, iaitu sesi taklimat oleh Tuan Haji Romli mengenai Kg. Paya Guring dan juga perkongsian mengenai memartabatkan bangsa dan negara. Seterusnya diikuti oleh taklimat daripada En. Zamri mengenai kerjasama JPNPP dengan Yayasan dan ucapan penghargaannya.
Kata-kata aluan
Tuan Haji Romli menyampaikan taklimat
1440 Selesai sesi tersebut, tiba waktu makan yang dinantikan. Makanan yang disediakan ala kampung memang menyelerakan. Ringkas namum lazat dan berkhasiat.
Ringkas tapi sedap dan berkhasiat
1505 Selepas selesai makan, secara santai peserta disampaikan oleh En. Azlan, Koordinator pasukan Yayasan di Perlis tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan di Kg. Paya Guring. Antaranya projek VTC (Village Transformation Center) yang bermatlamat memajukan ekonomi kawasan kampung dengan konsep perhotelan sambil mengekalkan identiti kampung tanpa menenggelamkannya dalam arus kemodenan.
Seterusnya disampaikan secara ringkas mengenai proses pertanian rock melon skala besar oleh En. Hasnan.
Setelah selesai sesi taklimat, sebelum meninggalkan Kg. Paya Guring, rombongan menyampaikan cenderahati kepada Tuan Haji Romli sebagai tanda penghargaan.
Penyampaian cenderahati
1550 Mula bergerak menuju ke ladang fertigasi rock melon Bintong yang diusahakan oleh pasukan Yayasan di Perlis.
1605 Dalam perjalanan ke ladang, peserta singgah sebentar di sebuah gerai yang menjual mempelam harum manis serta produk-produk sampingan yang lain. Peserta juga mengambil peluang menjamu pulut dan jus asli mempelam harum manis.
Gerai mempelam harum manis
1630 Sampai di ladang fertigasi rock melon Bintong. Namun pada waktu lawatan, ladang tersebut baru sahaja habis musim tuaian dan kesemua pokok telah dilupuskan. Keadaannya kosong tetapi kemas dan terurus. Namun masih banyak yang dapat dipelajari mengenai pertanian fertigasi skala besar walaupun tanpa kehadiran pokok-pokoknya..
Ladang fertigasi rock melon Bintong
Taklimat penanaman rock melon secara fertigasi
Taklimat mengenai perusahaan rock melon skala besar disampaikan oleh En. Hasnan dan En. Nur Haq. Sesi lebih menjurus kepada sesi soal jawab di mana para peserta banyak bertanyakan soalan untuk dijelaskan oleh pihak Yayasan Perlis. Sejarah bagaimana bermulanya projek berkenaan juga disentuh sedikit sebanyak di dalam taklimat tersebut.
Antara perkara yang dibincangkan adalah sistem paip yang digunakan, sistem SPH (Struktur Pelindung Hujan), pengurusan kewangan dan tenaga kerja, peringkat pembesaran tanaman rock melon dan banyak lagi.
Sesi bergambar sebelum berangkat pulang
1805 Setelah selesai, peserta bergerak untuk pulang kembali ke Pulau Pinang.
2030 Selamat tiba semula di Kuarters Pasir Gebu.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam usasama menjayakan lawatan PUTP ini:
Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang
En. Zamri Bin Osman
Yayasan Al-Tarbiyah bahagian Perlis
JKKK Kg. Paya Guring
Tuan Haji Romli Bin Haji Hassan
En. Syaril
Para peserta PUTP
No comments:
Post a Comment