Wednesday, April 30, 2014

Fertigasi dan Dripper Tersumbat

Dalam pertanian secara fertigasi, masalah penitis (dripper) tersumbat adalah sesuatu yang tak dapat dipisahkan umpama irama dan lagu...
Namun, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Atau paling tidak pun, pasti ada cara untuk mengurangkannya.

Punca utama dripper tersumbat adalah disebabkan adanya kekotoran di dalam saluran paip. Kekotoran akan tersekat di dripper dan menghalang air baja daripada keluar melaluinya kerana bukaan pada dripper yang amat kecil.

Kekotoran mungkin datang dari dalam tangki baja (pasir, tanah, serangga, dan sebagainya), atau daripada keladak yang terbentuk di dalam sistem paip itu sendiri akibat kepekatan baja dan tindakbalas terhadapnya dengan haba daripada pancaran matahari.

Punca lain mungkin disebabkan tekanan yang tidak sekata mengakibatkan sesetengah dripper tak berupaya untuk menitiskan air (sebab tekanan tak cukup kuat di dripper tersebut). Kesan sifon juga menyumbang dalam masalah ini di mana ruang2 udara terbentuk di dalam paip yang menyebabkan air baja tersekat2 dan lambat keluar melalui dripper. Secara teknikal, ini bukanlah bermaksud dripper tersebut tersumbat.

Pemasangan alat penapis (filter) pada sistem paip (sebelum atau selepas pam, sebelum sampai ke dripper) dapat mengurangkan masalah tersumbat akibat kekotoran yang datang dari dalam tangki.

Untuk mengatasi masalah kekotoran yang terbentuk akibat keladak, agak rumit, kerana keladak pasti akan terbentuk. Jadi, kita cuma boleh laksanakan sesuatu hanya untuk mengurangkannya sahaja.

Terdapat dua jenis dripper, iaitu pressure compensating, dan bukan pressure compensating. Jenis pressure compensating bermaksud kelajuan titisan adalah sekata walaupun tekanan berbeza. Kalau jenis yang bukan, air akan menitis laju bila tekanan tinggi, dan perlahan bila tekanan rendah.

Jenis pressure compensating ini lah yang biasa digunakan dalam pertanian fertigasi, dan yang ni jugalah yang mudah tersumbat. Sebabnya terdapat filter di bahagian penyambung di antara dripper tersebut dengan microtube bertujuan mengawal kelajuan titisan air. Filter ini lah yang halus bukaannya dan kotoran mudah tersekat di sini.

Dripper biasa, jenis pressure compensating

Jenis dripper yang bukan pressure compensating pula tiada filter dan bukaannya lebih besar, jadi masalah tersumbat kurang berlaku. Namun bukaan yang lebih besar ini menyebabkan kelajuan titisan yang sangat tinggi, seterusnya tekanan dalam paip menjadi berkurangnan dan tidak sekata. Rekabentuk sistem paip perlu dibuat dengan betul supaya kesan daripada masalah tekanan ini dapat dikurangkan.

Dripper hibrid menggunakan tiub kapilari 1mm (diameter lubang)

Penggunaan tiub kapilari 1mm juga dapat mengurangkan berlakunya masalah tersumbat. Ini dikira sama dengan dripper jenis bukan pressure compensating. Kami baru sahaja menggunakan tiub ini di beberapa polibeg sebagai ujikaji dripper hibrid untuk menangani masalah dripper tersumbat. Dripper hibrid menjimatkan kos sebab hanya menggunakan sedikit sahaja tiub kapilari, dan selebihnya menggunakan peralatan sedia ada (microtube 4mm, polypipe 16mm, sedikit gam).

Rekabentuk sistem paip mungkin juga sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengurangkan masalah dripper tersumbat.

Ujikaji: Bina paip yang disambungkan dari hujung barisan masuk semula ke dalam tangki supaya keladak dan gelembung udara yang terperangkap dalam sistem paip dapat dibebaskan. Keladak yang masuk semula ke dalam tangki akan ditapis semula dengan alat penapis, atau akan mendak ke dasar tangki, atau akan larut semula ke dalam air baja.

Cara lain adalah dengan mengepam air kosong mangikut jadual yang tertentu. Contohnya seperti berikut:

1) apabila air baja di dalam tangki telah habis, penuhkan tangki dengan air kosong
2) pamkan hanya air kosong ke pokok sepanjang satu hari (kekerapan biasa)

Atau:

1) pamkan  air baja di waktu pagi dan tengahari
2) pamkan hanya air kosong di waktu petang

Dengan cara ini, pembentukan keladak di dalam sistem paip mungkin dapat dielakkan atau mungkin keladak yang telah terbentuk dan terperangkap di dalam sistem paip dapat larut semula ke dalam air kosong.

Apa sahaja yang kita laksanakan, pasti akan ada halangan dan cabaran. Namun kita sendiri lah yang perlu berusaha untuk cari jalan penyelesaiannya. Dengan cabaran inilah yang membuatkan kita membesar dengan lebih kuat dan lebih bijak.

Bila ada halangan pokok tu jadi lebih kuat dan lebih bijak

Selamat maju jaya dalam fertigasi! §

Tuesday, April 22, 2014

Simptom kekurangan unsur Nutrien dalam tanaman

Pada musim yang lepas, terdapat kes terpencil dimana cili kulai 568 yang kami tanam kurang pedas. Jadi setelah melakukan siasatan ada beberapa finding yang kami dapat melalui nasihat Jabatan Pertanian dan sedikit bacaan. (Kalau salah atau ada pandangan lain bolehlah kita bincangkan):

1) Cili 568 memang tidak terlalu pedas berbanding cili yang lain.
2) Kekurangan unsur magnesium dalam baja.

Ok jadi hari ini kami nak bincangkan tentang unsur Magnesium ni.

Unsur Magnesium adalah salah satu unsur dalam baja set AB yang mana ianya terdapat pada Set B (Magnesium Sulfat)

Menerusi sumber bacaan kami, Magnesium membantu dalam fotosintesis pokok. Ianya sebagai penggalak atau pembantu enzim-enzim dalam tumbuhan. Jadi memang penting Magnesium ni.

Selain dari itu , jika Magnesium kurang dalam pokok , pokok akan menunjukkan simptom-simptom seperti daun yang tua berubah warna kuning dan daun melentik atau berputar ke atas.

Persoalannya adalah kadar kepedasan cili dengan magnesium ni adakah ada kaitan. ??


Untuk mengetahui kepentingan unsur-unsur lain dan kesannya terhadap pokok bolehlah rujuk di sini:

https://www.facebook.com/notes/1-malaysia-fertigation-group/nutrients/147626411977712

Terima Kasih.

Thursday, April 17, 2014

Jumlah Media dalam Polibeg Fertigasi

Dalam pertanian secara fertigasi, pokok ditanam di dalam polibeg dengan kuantiti media yang tertentu yang terkandung di dalam polibeg tersebut.

Media di dalam polibeg, ditanam dengan pokok timun

Jadi, jumlah dan keadaan media yang dimasukkan di dalam setiap polibeg adalah penting. Lagi banyak lagi bagus. Tapi kalau terlalu banyak, akan menjadi kurang praktikal dan ekonomikal.
Kalau jumlah media terlalu sedikit, kebolehannya untuk menampung air baja akan berkurangan. Air baja akan cepat tertiris keluar daripada polibeg pada setiap kali siraman. Sekiranya cuaca panas, air baja juga akan cepat menjadi kering. Ini akan mangakibatkan pokok yang ditanam tidak mendapat jumlah nutrien yang sepatutnya, dan pertumbuhannya akan terjejas.

Jumlah terbaik adalah apabila polibeg dilipat lebih kurang satu inci, kandungan media juga adalah satu inci daripada permukaan atas polibeg. Namun, berat keseluruhan polibeg yang telah diisi dengan media juga boleh digunakan sebagai kaedah untuk memastikan jumlah media yang mencukupi. Jika menggunakan media sabut, kadang2 kepadatan dan kadar kelembapan sabut tersebut berbeza, menyebabkan jumlah yang berbeza dimasukkan di dalam polibeg walaupun pada ketinggian yang sama.

Pastikan kepadatan dan kelembapan media adalah sama di dalam setiap polibeg di dalam ladang fertigasi, agar pertumbuhan setiap pokok adalah sekata secara keseluruhan.

Pertanian menggunakan kaedah fertigasi ini dapat mengurangkan pembaziran ke arah 'zero waste'. Ini adalah kerana air dan baja yang diberikan akan terkumpul di dalam polibeg dan tidak akan mengalir keluar (jika sukatan yang diberikan adalah betul). Jadi, pokok akan mendapat hampir kesemua air dan baja yang diberikan.

Berbanding dengan pertanian di atas batas, di mana baja dan air berkemungkinan mengalir keluar dan meresap ke dalam tanah dan tidak kesemuanya berupaya untuk diserap oleh pokok. §

Monday, April 7, 2014

CIli Kulai 151

Alhamdulillah, kami berkesempatan membuat program bersama pelajar-pelajar Sekolah Rendah Penaga. Di kesempatan itu juga kami menanam varieti Kulai jenis 151. Di sini kami akan kongsikan serba sedikit mengenai varieti ini.

Pokok Cili Kulai 151 ini tidaklah setinggi pokok Cili Kulai 568. Pokoknya pendek tetapi buahnya lebat. Oleh kerana lambat ikat dahan dan pokok, 3 pokok telah pun patah kerana buah yang terlalu lebat dan faktor angin.

Media semaian yang digunakan adalah sabut kelapa dan sekam padi
Sepanjang pemerhatian kami juga, buah cili 151 ini kelihatan lebih besar dari Kulai 568. Dalam umur 60HST, buahnya mmg mengujakan sesiapa yang tengok.

Dari segi penyakit dan serangan serangga pula didapati masalahnya agak kurang berbanding kulai 568. Namun iainya masih awal lagi sebab kawasan tanaman ini baru pertama kali ditanam cili. Namun ada juga pokok yang terkena serangan mozek. Serangan kutu dan hamama memang biasa pada pokok cili dan cara mengatasi yang kami gunakan sama seperti cili kulai 568 iaiu penggunaan racun Mencozeb dan Abermactin.

Sekarang ada beberapa hari lagi sebelum ianya boleh dipetik. Harap-harap hasilnya boleh mengembirakan si penanam..

Di sini kami kongsikan gambar pokok varieti cili ini. Bagi tujuan pembelajaran pelajar-pelajar, di kawasan sekolah ini menempatkan 50 pokok sahaja. 3 pokok dah pun kecundang.


Dahan diikat kerana buah yang lebat

Kawasan belakang sekolah yang menempatkan pokok cili Kulai 151