Wednesday, November 21, 2012

Fertigasi timun setelah seminggu

Setelah seminggu tak kemaskinikan blog ni...

Keadaan cuaca beberapa hari yang lalu yang terik di waktu tengah hari dan tak hujan langsung sepanjang hari telah menjejaskan kesihatan pokok-pokok timun di kebun fertigasi kami...

Beberapa 'spot' didapati layu dan ada beberapa pokok yang langsung kering dan dah tak dapat diselamatkan lagi... Sedih jugak tengok... Lebih-lebih lagi pokok yang dah ada buah timun kecik yang mula muncul, namun kian kecut disinari mentari... Didapati 'spot-spot' yang banyak pokok layu tu terdedah lebih lama terhadap sinar matahari setiap hari sebab tak terlindung oleh bayangan bangunan rumah mahupun pokok jambu rumah sebelah...


 


Di bahagian depan kebun, pokok layu... Di bahagian belakang, pokok daun kekuningan... Mungkin jugak disebabkan oleh 'mabuk daun' sebab pokok-pokok tu jaraknya terlalu rapat di antara satu sama lain...


Harini hasil kutipan timun dah mencecah 10 kilogram sehari. Bilangan timun sebanyak 33 batang, jadi purata berat sebatang 300 gram. OK lah tu. Tadi pun ada sahabat yang mengusahakan tanaman cendawan membantu dalam proses penuaian. Ada juga beberapa batang timun yang masih agak kecil, belum cukup umur lagi, tapi dah dituai tadi... Takpa lah, buah cenpedak di luaq pagaq... §

Tuesday, November 13, 2012

Jualan pertama hasil tuaian timun

Harini adalah hari pertama kami menjual hasil tuaian timun fertigasi kami...
Hasil kutipan semenjak beberapa hari yang lalu sebanyak 10 batang dengan jumlah berat lebih sikit daripada 3kg.



Hasil tuaian semenjak 3 hari lalu kami simpan di dalam peti ais, didapati ianya masih berada dalam keadaan segar.
Harga timun di pasaran secara umumnya pada waktu ini adalah sekitar RM2.50 - RM3.00 sekilogram. Kami ambil keputusan untuk jual di restoran berhampiran sahaja, dengan harga RM2.00 sekilogram. Tuaian akan datang jugak mungkin kami akan ambil pendekatan yang sama, untuk jual di restoran-restoran dan gerai-gerai makan, terutamya gerai burger dan gerai sate.

Keadaan kebun kebelakangn ini agak membimbangkan kerana cuaca yang panas terik di waktu tengah hari tanpa hujan di waktu petang. Daun-daun banyak yang layu dan kering. Jadi, kami ambil langkah untuk meningkatkan kadar siraman air dan baja kepada tiga kali setiap hari. Sekali siram baja di waktu awal pagi, sekali lagi siram air sahaja di waktu lewat pagi, dan sekali lagi siram baja di waktu petang.

Kerengga didapati makin bermaharajalela di daun-daun timun fertigasi kami.

Tiang-tiang penampung jaring semakin condong, kami tegakkan kembali sedikit sebanyak dengan menggunakan dawai pula berbanding tali rafia yang digunakan sebelum ini. Ada baik buruknya menggunakan dawai, namun ini dianggap sebagai tempoh kaji selidik bagi menentukan kaedah yang paling baik bagi menampung pokok-pokok dan buah-buah timun yang makin berat. §

Friday, November 9, 2012

Tuaian pertama!

Harini kami buat keputusan untuk tuai buah timun sulong kami yang bengkok ni...


Lepas tuai kami timbang dulu, lepas tu baru kami potong dan makan... Segar, rangup dan sedap! Maklumlah, hasil tanam sendiri... Berat lebih kurang 150 gram. Ok la tu... Tuaian pertama hasil kebun fertigasi timun kami!




Mula-mula dulu kami rasa macam buah sulong ni je yang paling besar... Tapi tengok-tengok buah-buah yang lain pun laju jugak membesar dah nak dekat sama besar dengan yang ni dah... Esok atau lusa dah boleh tuai lagi beberapa biji buah timun lagi...


Keseluruhan kebun dah dipenuhi dengan bunga-bunyaan yang menguning... Belek-belek tengok putik-putik buah timun yang kian bertambah banyak... Jumpa putik timun kembar...


Petua orang tua-tua, kalau sapa-sapa nak anak kembar, makan la timun kembar... Nanti dapat anak kembar... Sapa mau? §

Wednesday, November 7, 2012

Lawatan ke Cherok Tok Kun

Hari ini kami ke Cherok Tok Kun melawat kebun tanaman fertigasi Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang yang dikendalikan oleh abang Wan. Kami sempat bertemu dan bersembang dengan abang Wan. Kali terakhir kami bertemu adalah ketika beliau memberikan tunjuk ajar latihan amali kaedah penyemaian cabai kepada kami beberapa bulan lalu. Harini ini beliau sempat berkongsi pengalaman dan petua-petua mengenai tanaman timun secara fertigasi. Antaranya adalah kaedah menentukan waktu yang sesuai untuk buah timun dituai, jumlah dan kekerapan baja dan air yang sesuai, makhluk-makhluk perosak, dan sebagainya.



Kebun fertigasi di situ baru sahaja selesai satu musim penanaman pokok timun. Kesemua pokok-pokok timun telahpun dibuang daripada beribu-ribu polybag tersebut.

Berikut adalah gambar-gambar terkini keadaan kebun timun fertigasi kami.


Setelah kamu tunjukkan gambar kepada abang Wan, kami berasa lega kerana beliau memaklumkan bahawa ianya berada dalam keadaan normal dan tiada masalah yang perlu dirisaukan. Hampir kesemua timun-timun yang kian membesar didapati lurus dan saiznya sekata.
Cuma buah timun sulung kami ini sahaja yang bengkok...


Kami juga dimaklumkan oleh abang Wan mengenai keadaan harga pasaran timun yang makin meningkat sekarang ini memandangkan keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan di seluruh Malaysia...
Penting juga untuk kita mengetahui keadaan cuaca supaya kita dapat merancang jenis tanaman manakah yang akan ditanam bagi mendapatkan keuntungan yang tertinggi.
Musim banjir harga naik, musim kemarau pun harga naik juga... Sediakan payung sebelum hujan, sebelum panas pun kena sediakan payung juga...

Kami juga menerima kunjungan daripada sahabat kami dari Perlis yang akan memulakan penanaman timun secara fertigasi tidak lama lagi. Mereka ke sini untuk meninjau harga dan membeli kelengkapan sistem pengairan tanaman fertigasi.
Mula-mula mereka melawat usaha sahabat kami membina rumah cendawan berskala kecil di kawasan rumah berhampiran. Kemudian mereka melawat kebun fertigasi kami. Mereka teruja dan berasa tidak sabar untuk memulakan penanaman fertigasi mereka sendiri. Selepas itu kami bawa mereka ke kedai menjual kelengkapan sistem pengairan fertigasi.
Selepas itu kami bawa mereka makan bersama di kedai ikan bakar (satu-satunya spesis ikan yang semuanya jantan, tiada yang betina). Selesai makan, kami melawat pula kedai menjual racun rumpai dan serangga. Setelah itu, kami pun bersurai.
Akan datang pasti kami pula yang akan melawat mereka di Perlis! Nantikan!

Nota: Pokok semakin berat, jaring semakin lendut, tiang kayu pun semakin melentur, kena fikirkan kaedah untuk memperkukuhkan tiang dan menegangkan semula jaring... Perlukan sedikit kepakaran dalam bidang kejuruteraan... §

Sunday, November 4, 2012

Timun bengkok

Dah beberapa hari tak kemaskini blog ni...
Sejak beberaha hari ni memang takde apa-apa aktiviti istimewa yang dilaksanakan di kebun melainkan yang biasa-biasa sahaja seperti siram baja dan buang rumpai...
Pokok-pokok timun disiram dengan air baja pada setiap pagi hari Isnin hingga Sabtu. Cuma hari Ahad je siram hanya dengan air sahaja tanpa baja...
Pagi tadi kesemua tali penampung jaring dah dipasang dengan lagi satu tali di bahagian atas sikit dari tali yang dulu...

Buah timun yang pertama (first born baby kami) dah makin besar...


Ada banyak jugak buah-buah timun lain tapi yang ni yang paling besar sekali... Yang lain-lain masih kecik, suku dari saiz yang ni agaknya... Yang ni cepat sikit dia muncul dan membesar... Tapi agak bengkok... Kalau yang bengkok ni mungkin rendah sikit grednya, tapi kalau untuk guna makan sendiri atau untuk dijual di restoran-restoran takde masalah la kot... Mungkin dua tiga hari lagi dah boleh tuai timun yang satu ni, makan sendiri dulu la kot, pertama kali makan timun hasil usaha tanam sendiri secara fertigasi... Yang lain-lain mungkin lagi seminggu baru boleh tuai.

Tadi ada dua ekor rama-rama berterbangan di kebun kami. Ingatkan nak ambil gambar, tapi bila datang dekat je dia terbang pi tempat lain pulak... Jadi takde la gambar yang dapat diambil... Jumpa serangga lain pulak...

Belalang di tiang...

Tak sabar nak tuai hasil dan jual kepada pembeli-pembeli yang sudi membeli. Walaupun hasil mungkin tak sebanyak seperti yang sepatutnya, gred pun mungkin rendah, tapi takpa sebab ni kali pertama dan serba kekurangan, jadi kami memang jangka hasilnya tak banyak sangat. Asalkan ada hasil. Yang penting adalah pelajaran yang diperolehi dalam proses ni dan bagaimana kita perbaiki kelemahan yang ada bagi perlaksanaan seterusnya. Pasti lumayan! §

Thursday, November 1, 2012

Bunga jantan bunga betina...

Disebabkan masih terasa keseronokan jumpa putik buah timun pagi semalam, rasa tak sabar nak membelek-belek pokok tercinta pagi ni... Malam tadi layar-layar baca-baca maklumat-maklumat tentang timun di internet...


Baru teringat balik masa belajar biologi kat sekolah menengah dulu. Tumbuhan pun ada jantina... Timun ada kedua-dua jenis bunga jantan dan jugak bunga betina pada pokok yang sama...

Kiri: bunga jantan. Kanan: bunga betina (belum kembang).
Tangkai bunga jantan kurus, tangkai bunga betina gemuk.

Jadi bunga-bungaan yang muncul mula-mula dulu adalah bunga jantan... Yang muncul kemudian yang tangkai gemuk sikit tu adalah bunga betina. Bunga betina ini lah yang akan membesar menjadi buah timun setelah berlakunya proses pendebungaan dengan debunga dari bunga jantan melalui bantuan kumbang dan lebah... Jadi serangga-serangga yang singgah di pokok-pokok timun tu ada juga kebaikannya... Kalau depa tak singgah mai, mungkin buah timun pun tak menjadi... Jadi takpa la kalau bagi depa makan sikit daun-daun pokok timun tu... Sikit-sikit saja takpa la, jangan banyak-banyak sangat ya... Sebagai balasan jasa depa menyempurnakan proses pendebungaan... Namun ada juga di antara depa tu yang merupakan serangga perosak yang harus dihapuskan!
Tak sangka pulak dalam proses tanam pokok timun ni dapat jugak imbas kembali memori ni dengan pengetahuan ilmu biologi yang belajar kat MRSMKT dulu-dulu... Barulah tak disia-siakan ilmu yang belajar dulu tu...

Jaring pun dah ditegangkan di semua barisan pokok kelompok lama. Barisan pokok kelompok baru pulak akan ditegangkan pada hujung minggu ni.

Nota: Kerengga makin banyak yang datang balik merayap di jaring-jaring dan tiang-tiang... Kalau makin teruk serangan kerengga ni, mungkin nak kena laksanakan operasi pembasmian sarang-sarang kerengga di pokok jambu tu... Pasti terlaksana! §