Tuesday, October 21, 2014

Kawalan Rumpai dalam Fertigasi

Dah lama tak update post kat sini...

Kalini nak cerita sikit tentang kawalan rumpai dalam pertanian secara fertigasi...

Silvershine
Selalunya pengusaha akan bentang plastik silvershine samada di keseluruhan tapak pertanian ataupun hanya di bahagian bawah polibeg sahaja..
Ukuran silvershine kebiasaannya 4 kaki lebar dan satu gulung sepanjang 250 meter berharga dalam lingkungan RM60-75.
Sangat nipis dan ringan, sukar untuk dibentang betul2 dan mudah koyak, tak tahan lama terutamanya jika dibentangkan di lorong2 laluan jalan kaki.. Kurang dari setahun dah koyak2 dan reput dan rumpai mula tembus jadi perlu kerap digantikan dengan yang baru..
Kegunaan sebenar silvershine ni adalah sebagai sungkupan untuk tanaman di atas batas, yang mana memang bukan di tempat yang dipijak2, dan memang akan ditukar ganti setiap kali mula musim tanaman baru..

Silvershine yang dibentang di barisan fertigasi

Weed Supressor
Kami pun baru je dapat pengetahuan mengenai weed suppressor ni.. rupa dia macam fabric pun ada, macam plastik yang dianyam pun ada.. Jadi, air hujan yang turun akan meresap ke tanah dan takkan bertakung di atas supressor ni.. Tahan lebih lama dan mudah sikit nak dibentang berbanding silvershine..
Ukurannya 4 kaki lebar dan satu gulung panjangnya 250 meter (sama macam silvershine juga).. Tetapi harganya agak mahal, sekitar RM800 segulung.. Ada juga saiz yang berbeza, seperti 6 kaki lebar.. Jenis material yang digunakan pun ada yang berbeza juga..
Walaupun harganya lebih mahal, namun ketahanannya mungkin lebih praktikal dan ekonomikal kerana tak pelu nak kena pasang banyak2 kali kalau dibandingkan dengan penggunaan silvershine...
3-4 tahun pun boleh tahan lagi supressor ni, mungkin lebih lama lagi pun boleh juga kalau jaga betul2..

Weed supressor yang siap dibentang di bawah polibeg

Merumput
Namun, walaupun menggunakan apa cara sekalipun, nescaya akan ada juga rumpai yang berjaya menembusi pertahanan.. Jadi, perlulah diawasi juga dengan cara melawat kebun dan ladang sekali sekala dan cabut rumput2 yang mula tumbuh kalau ada.. Jangan tunggu sampai rumpai dah merebak dan membiak pesat baru nak cabut, nanti akan terasa bebannya..

Meracun
Tapi kalau tak dapat dikawal, boleh lah menggunakan racun rumpai.. Namun tak digalakkan sebab mungkin racun rumpai ni akan memberi kesan yang negetif terhadap tanaman fertigasi kita.. Kalau boleh, elakkan penggunaan racun rumpai.. Lagipun kalau tak gunakan racun rumpai, alam sekitar akan lebih terpelihara dan sejahtera..

Jadi, jangan biarkan rumpai tumbuh di sekitar polibeg fertigasi kita. Kalau rumpai dah merimbun di bahagian luar polibeg, nescaya benih2 rumpai tu akan dapat masuk ke dalam polibeg dah akan turut tumbuh subur di dalam polibeg... Rugi la sebab baja yang kita bagi untuk tanaman kita tu akan kena curi oleh rumpai2 yang menumpang kat dalam polibeg tu...

Mari kita sama2 pelihara tapak pertanian kita agar tidak diserang rumpai2 yang nakal tu! §

Friday, August 29, 2014

Lawatan dari Pelajar-Pelajar Institut Latihan Pertanian Bumbung Lima SPU

Assalamualaikum,

Rasanya dah lama kami x post sesuatu di blog ini. Maaf kalau ada yang ternanti-nanti post dari kami..  :) . Setelah syawal melabuhkan tirai, kami dengan berbesar hati telah pun menerima kunjungan dari pelajar-pelajar Institut Latihan Pertanian Bumbung Lima. Mereka ini terdiri dari gadis-gadis berumur lingkungan 19 - 22 tahun dari bidang penternakan datang untuk membuat kaji selidik survey berkenaan PRA ( kami pun x berapa pasti maksud dia) terhadap kami yang kebetulan adalah usahawan tani di bawah bimbingan Jab Pertanian SPU.

Jadi sesi soal selidik ini berlangsung lebih kurang 2 jam setengah dengan bermacam-macam soalan ditanyakan kepada kami. Soalan-soalan mereka lebih kepada operasi kami menjalankan aktiviti di situ.

Selain dari kami bersyukur kerana dapat berkongsi sedikit sebanyak tentang apa yang kami buat, kami juga dapat refresh balik tentang SOP, aktiviti dan juga sejarah pembukaan tempat tersbut yang sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat kami untuk terus berusaha. Kebetulan sahabat kami Bang Chik juga lalu dihadapan, maka terpaksalah join kami.

Terima Kasih kami ucapkan kepada En Zamri selaku pegawai APK yang membawa mereka ke tempat kami dan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian.


Ok, plan kami untuk tahun ini dan akan datang adalah untuk memperbanyakkan aktiviti bisnes pertanian ini. Gambate.


Wednesday, July 23, 2014

Salam Aidilfitri

Kami dari warga Fertigasi Mutiara mengucapkan 
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin



Raya-raya jugak, keselamatan perlu diutamakan.

Monday, July 14, 2014

Pensijilan MyGap

Kebun Fertigasi kami dalam proses untuk mendapatkan sijil MyGap daripada Jabatan Pertanian.


Leceh jugak nak mendapatkan sijil ni. Macam2 perkara nak kena perhatikan. Banyak kelengkapan perlu disediakan di kebun seperti almari berkunci khusus sebagai tempat simpan racun dan baja, tanda tengkorak, label, kotak pertolongan cemas, dan sebagainya.

Proses2 dan segala aktiviti yang dijalankan dalam pertanian perlu direkodkan dan dokumen disimpan dengan rapi. Macam2 jenis rekod perlu dibuat seperti pembelian benih dan baja serta penggunaannya, pelupusan sisa, pengairan, hasil, pekerja, dan sebagainya.

Bila dah siap semua, baru akan diaudit. Lepas tu baru boleh dapat sijil MyGap.

Ramai petani dan pengusaha kebun dan ladang tak nampak kepentingan mendapatkan pensijilan MyGap ni. Tapi sebenarnya dengan melaksanakan segala perkara yang digariskan dalam proses nak mendapatkannya, secara tak langsung operasi kebun dan ladang akan menjadi lebih teratur, lancar dan selamat. Pihak Jabatan Pertanian pasti akan membantu. §

Friday, June 20, 2014

Serangan Tanaman Semasa Musim Panas

Masuk minggu ini sudahpun masuk 2 minggu hujan tidak turun di P.Pinang. Ini mengakibatkan cuaca panas. Bila cuaca panas ada yang datang menghampiri. Termasuklah serangan kutu dan hamama. Kebun kami pun tidak boleh lari dari serangan ini. Dari pemerhatian majoriti pokok ada serangga ini dibawah daun. Kesannya amatlah membimbangkan. Daun jadi kerinting, pokok nampak tidak segar dan kulat menyerang pokok. Effect juga kepada hasil.

Jadi langkah yang kami ambil adalah kekerapan racun kami tingkatkan dan siraman baja dan air dikerapkan bagi memastikan pokok dapat bertahan.


Selain itu juga kami menambah plantbac dan chitosan kepada semburan racun kami. Ini adalah kali pertama pokok disiram plantbac dan chitosan.

Jadi ini adalah gambar-gambar serangan yang terjadi. Doakanla pokok pulih dan keluarkan hasil yang baik.



Saturday, June 14, 2014

Anggaran Hasil Jualan Cili Fertigasi

Dalam pertanian cili secara fertigasi, berat hasil tuaian yang dapat diperolehi dalam tempoh satu musim adalah di antara 1.5 kilogram hingga 3 kilogram bagi setiap pokok. Jika pokok terkena serangan penyakit dan tidak ditangani dengan segera, pasti hasil yang diperolehi adalah rendah. Begitu juga jika cuaca terlalu panas dan jumlah air yang diberikan tidak mencukupi. Atau perkara2 lain seperti jenis dan kepekatan baja yang salah, ejen pendebungaan yang tidak cekap, bencana alam seperti banjir dan kebakaran, serangan makhluk perosak seperti serangga atau haiwan lain, dan sebagainya. Perkara2 ini adalah penentu banyak atau sikitnya hasil tuaian pertanian.
Tempoh satu musim pula adalah kira2 selama 7 bulan (bermula daripada semaian anak benih hingga ke tuaian terakhir).

Gambar hiasan: Ladang fertigasi cili

Gambar hiasan: Hasil tuaian cili

Harga jualan pula berubah2, di antara RM5 per kilogram sehingga setinggi RM15 per kilogram mengikut musim (kebiasaannya harga akan naik tinggi di musim perayaan dan musim kenduri).

Dengan maklumat ini, kita boleh buat perkiraan anggaran kasar purata hasil jualan cili dalam sebulan (pendapatan bulanan) bagi setiap pokok yang ditanam.

Kiraan:

Berat tuaian satu pokok X Harga satu kilogram / Tempoh satu musim (7 bulan)

Setelah membuat kiraan, anggaran hasil jualan bulanan yang didapati adalah dalam lingkungan RM1 hingga RM6 bagi setiap pokok yang ditanam.

Jadi, jika ditanam sebanyak 500 pokok, potensi purata hasil jualan yang bakal diperolehi dalam sebulan adalah dalam lingkungan RM500 hingga RM3,000.

Dengan ini, pengusaha pertanian fertigasi dapat membuat perancangan berapa pokok untuk ditanam berdasarkan berapa hasil jualan yang diinginkan bagi setiap bulan. Kalau mahukan keuntungan yang lebih besar, tanamlah lebih banyak pokok. Namun, kiraan ini tidak termasuk dengan modal pusingan yang perlu dikeluarkan seperti pembelian baja dan racun, air dan elektrik, serta upah pekerja (jika ada). Perniagaan yang baik memerlukan perancangan yang cermat. Selamat berfertigasi. §

Wednesday, June 4, 2014

Projek Fertigasi Samagagah- Pemindahan Anak Pokok

Alhamdulillah 23 hb May yang lepas proses pemindahan anak pokok cili ke polibeg telahpun berjaya dilakukan. Proses ini dilakukan dengan kerjasama dari pihak sekolah iaitu dari Cikgu bertanggungjawab Cikgu Syazwani dan juga pekerja-pekerja Sekolah.

Dengan menggunakan pam dan tangki yang kecil dan minimum, pressure air dilihat agak sekata dan berdasarkan pemantauan kami, pokok membesar dengan baik dan  tunas-tunas baru telahpun mula bercambah.

Semoga pokok dapat membesar dengan baik.

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat kami ambil pada pagi tersebut.


Cikgu Syazwani dan pekerja sekolah memindahkan anak-anak pokok

Kerja pemindahan sedang dijalankan

1 pokok 1 polibeg 1 dripper


Maklumat pembajaan dan label alatan fertigasi bagi memudahkan pengendali.



Tuesday, May 27, 2014

Tuaian Cabai Musim Kedua

Minggu lepas secara rasminya kami dah mulakan penuaian di kebun fertigasi tanaman cabai kami di kuarters Jabatan Pertanian di Pasir Gebu. Sebelum ni tuaian tak rasmi melibatkan buah2 cabai yang masih hijau yang gugur secara tak sengaja atau sebab dahan pokok patah. Yang tu kami tak jual, buat makan sendiri je. Kalini ni rasanya lebih pedas daripada musim pertama.

Hasil tuaian sulong musim kedua

Tuaian sulong tak dapat banyak sangat, 380 gram sahaja, tapi hampir dua kali ganda lebih banyak daripada tuaian sulong musim pertama dulu. Setakat ni setelah hampir seminggu menuai, jumlah berat yang diperolehi adalah 6.6 kilogram. Tuaian dibuat setiap dua hari sekali.

Pelbagai masalah yang terjadi sepanjang musim kedua ni. Antaranya masalah dripper tersumbat, daun melentik, mozek, kulat, pokok kurang nutrien, dan sebagainya. Masalah2 tersebut semuanya pasti ada jalan penyelesaiannya. Yang penting kena terus usahakan tanaman dan berusaha untuk mencari dan melaksanakan jalan2 penyelesaian tersebut.

Pokok cabai yang lebat buahnya

Harga pasaran juga sekarang ni agak tak stabil. Ada kawasan yang harga normal, ada yang harga tinggi, ada yang harga rendah. Mungkin disebabkan lambakan sayuran yang diimport dari negara jiran. Kebiasaannya di musim perayaan (raya puasa, raya haji, dan sebagainya) harga cabai akan meningkat kerana permintaan meningkat. Kami tanam cabai musim kedua ni pun dengan sasaran supaya sebahagian daripada tempoh tuaian berada dalam tempoh musim perayaan tersebut. Keuntungan pasti dapat dimaksimakan.

Baru2 ni kami dapat maklumat yang menarik bahawa harga cabai (dan mungkin juga beberapa jenis sayuran lain) kebiasaannya meningkat di musim cuti sekolah. Esok lusa sekolah dah mula cuti. Mula2 terasa agak pelik bagaimana pula cuti sekolah pun boleh mempengaruhi harga sayuran... Rupanya setelah difikirkan, sebabnya adalah di musim cuti sekolah akan ada banyak kenduri kahwin. Jadi, di situlah sebenarnya yang memerlukan penggunaan cabai yang banyak untuk masak lauk kenduri, dan menyebabkan permintaan meningkat dan seterusnya harga pun naik. Kalau benar, memang peluang baik untuk tingkatkan keuntungan. §

Tuesday, May 20, 2014

Projek Fertigasi SMK Samagagah

Alhamdulillah kami diberi peluang untuk menyediakan lapangan fertigasi di SMK Samagagah Permatang Pauh dalam bulan ini.Berbekal sedikit pengalaman, kami telahpun menyediakan lapangan bagi 100 polibeg set fertigasi. Tanaman pertama adalah cili kulai 568.


Menurut siri mesyuarat bersama PK Koko Cikgu Nazirah Omar dan Pengetua Puan Rahmah Mat Saman, sekolah ini mempunyai banyak kawasan yang berupaya mengeluarkan hasil tanaman dari sayur-sayuran. Pengetua yang juga alumni Universiti Putra Malaysia sangat berminat untuk membangunkan model-model pertanian berskala kecil di kawasan sekolah.

Selain dari fertigasi SMK Samagagah juga membangunkan tanaman sayuran batas yang dengan dibantu oleh Jabatan Pertanian Daerah Seberang Perai Tengah yang diketuai Pegawai Pertanian Tuan Abdul Rani Hassan.

Bermula dengan gotong royong besar-besaran pihak sekolah dengan kami dan Jabatan Pertanian maka model-model ini telah pun dijalankan. Maka dari hari gotong royang anak pokok cili telahpun disemai dan bersedia untuk dipindahkan pada 23 May ini.

En Hakim dan staf SMK Samagagah 
Menarik juga kali ini sahabat kami En Mohd NorHakim pun turut serta dalam bersama-sama membangunkan model fertigasi di sekolah. Jadi kita tunggu Khamis ini untuk upacara pemindahan anak pokok.

Kawasan pembangunan model fertigasi SMK Samagagah
Semoga projek ini menjadi pemangkin dan menambah minat terutamanya para generasi muda untuk bersama-sama berperanan menjamin bekalan makanan negara.




Wednesday, May 14, 2014

Makanan dan Kekuatan dan Kekayaan

Zaman dulu kekayaan seseorang itu diukur dengan bentuk badannya... Lagi besar badan, lagi kaya... Kalau kurus kering tu tak kaya... Sebab kalau kaya, makan pun cukup, badan pun jadi besar... Namun, situasi zaman sekarang agak berbeza...

Makanan (dan air) itu adalah perkara paling penting sekali dalam kehidupan. Perkara lain adalah perlindungan (shelter) dan pakaian. Tapi tanpa pakaian dan perlindungan pun kehidupan masih boleh diteruskan. Sebaliknya tanpa makanan, kehidupan pasti akan terhenti.

Sejak dahulu lagi, zaman purba kala, peperangan berlaku akibat perebutan sumber makanan. Tanah dan kawasan jajahan yang berpotensi menghasilkan sumber makanan menjadi rebutan.

Kekuatan sesebuah negara bergantung kepada jumlah makanan yang dikuasainya, samada makanan tersebut dihasilkan di dalam negara itu sendiri, ataupun diperolehi dari negara lain. Sekuat mana pun ketenteraan, askar ramai, kapal dan kereta kebal banyak, namun tanpa makanan, kekuatan tersebut takkan berkekalan.

Kesedaran kepentingan makanan di waktu peperangan

Begitu juga dengan kekayaan. Sekaya mana pun sesebuah negara (begitu juga individu), banyak harta, emas dan intan, tetap tak berguna jika tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Memang betul, kalau ada banyak harta, boleh beli banyak makanan. Tapi kalau tiada sesiapa yang nak jual makanan, bagaimana? Emas dan intan tak boleh dimakan... Cara yang terbaik adalah dengan menghasilkan makanan sendiri. Dan pertanian adalah antara sumber penghasilan makanan yang paling utama.

Jadi, marilah kita sama2 tanamkan dalam minda kita bahawa pertanian itu adalah sangat penting untuk kesejahteraan negara. Kerana dengan pertanian, sumber makanan dapat dicukupi. Dan apabila makanan dicukupi, keamanan dan kesejahteraan dapat dikecapi. Bak kata orang, gendang gendut tali kecapi... §

Monday, May 12, 2014

Cabai di Kala Hujan

Musim panas sudahpun berlalu, sekarang hujan pun datang, 2 hari sekali, kadang-kadang tiap-tiap hari. Cabai , dikala musim hujan ni pun terkena serangan. Antara serangan yang selalu terjadi adalah serangan kulat. buah jadi lembik dan gugur.

serangan kulat dan kekurangan nutrien



Selain itu mozek juga dilihat kerap terjadi akibat perubahan cuaca mendadak.

Namun dengan prosedur biasa dan kekerapan seminggu sekali (sekali organik dan sekali racun), masalah ini boleh dikawal.

Pokok patah akibat hujan lebat

Panen (bahasa indonesia untuk tuaian) sudahpun tidak lama lagi. diharap semuanya baik-baik. Rezeki dari Tuhan.



Wednesday, April 30, 2014

Fertigasi dan Dripper Tersumbat

Dalam pertanian secara fertigasi, masalah penitis (dripper) tersumbat adalah sesuatu yang tak dapat dipisahkan umpama irama dan lagu...
Namun, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Atau paling tidak pun, pasti ada cara untuk mengurangkannya.

Punca utama dripper tersumbat adalah disebabkan adanya kekotoran di dalam saluran paip. Kekotoran akan tersekat di dripper dan menghalang air baja daripada keluar melaluinya kerana bukaan pada dripper yang amat kecil.

Kekotoran mungkin datang dari dalam tangki baja (pasir, tanah, serangga, dan sebagainya), atau daripada keladak yang terbentuk di dalam sistem paip itu sendiri akibat kepekatan baja dan tindakbalas terhadapnya dengan haba daripada pancaran matahari.

Punca lain mungkin disebabkan tekanan yang tidak sekata mengakibatkan sesetengah dripper tak berupaya untuk menitiskan air (sebab tekanan tak cukup kuat di dripper tersebut). Kesan sifon juga menyumbang dalam masalah ini di mana ruang2 udara terbentuk di dalam paip yang menyebabkan air baja tersekat2 dan lambat keluar melalui dripper. Secara teknikal, ini bukanlah bermaksud dripper tersebut tersumbat.

Pemasangan alat penapis (filter) pada sistem paip (sebelum atau selepas pam, sebelum sampai ke dripper) dapat mengurangkan masalah tersumbat akibat kekotoran yang datang dari dalam tangki.

Untuk mengatasi masalah kekotoran yang terbentuk akibat keladak, agak rumit, kerana keladak pasti akan terbentuk. Jadi, kita cuma boleh laksanakan sesuatu hanya untuk mengurangkannya sahaja.

Terdapat dua jenis dripper, iaitu pressure compensating, dan bukan pressure compensating. Jenis pressure compensating bermaksud kelajuan titisan adalah sekata walaupun tekanan berbeza. Kalau jenis yang bukan, air akan menitis laju bila tekanan tinggi, dan perlahan bila tekanan rendah.

Jenis pressure compensating ini lah yang biasa digunakan dalam pertanian fertigasi, dan yang ni jugalah yang mudah tersumbat. Sebabnya terdapat filter di bahagian penyambung di antara dripper tersebut dengan microtube bertujuan mengawal kelajuan titisan air. Filter ini lah yang halus bukaannya dan kotoran mudah tersekat di sini.

Dripper biasa, jenis pressure compensating

Jenis dripper yang bukan pressure compensating pula tiada filter dan bukaannya lebih besar, jadi masalah tersumbat kurang berlaku. Namun bukaan yang lebih besar ini menyebabkan kelajuan titisan yang sangat tinggi, seterusnya tekanan dalam paip menjadi berkurangnan dan tidak sekata. Rekabentuk sistem paip perlu dibuat dengan betul supaya kesan daripada masalah tekanan ini dapat dikurangkan.

Dripper hibrid menggunakan tiub kapilari 1mm (diameter lubang)

Penggunaan tiub kapilari 1mm juga dapat mengurangkan berlakunya masalah tersumbat. Ini dikira sama dengan dripper jenis bukan pressure compensating. Kami baru sahaja menggunakan tiub ini di beberapa polibeg sebagai ujikaji dripper hibrid untuk menangani masalah dripper tersumbat. Dripper hibrid menjimatkan kos sebab hanya menggunakan sedikit sahaja tiub kapilari, dan selebihnya menggunakan peralatan sedia ada (microtube 4mm, polypipe 16mm, sedikit gam).

Rekabentuk sistem paip mungkin juga sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengurangkan masalah dripper tersumbat.

Ujikaji: Bina paip yang disambungkan dari hujung barisan masuk semula ke dalam tangki supaya keladak dan gelembung udara yang terperangkap dalam sistem paip dapat dibebaskan. Keladak yang masuk semula ke dalam tangki akan ditapis semula dengan alat penapis, atau akan mendak ke dasar tangki, atau akan larut semula ke dalam air baja.

Cara lain adalah dengan mengepam air kosong mangikut jadual yang tertentu. Contohnya seperti berikut:

1) apabila air baja di dalam tangki telah habis, penuhkan tangki dengan air kosong
2) pamkan hanya air kosong ke pokok sepanjang satu hari (kekerapan biasa)

Atau:

1) pamkan  air baja di waktu pagi dan tengahari
2) pamkan hanya air kosong di waktu petang

Dengan cara ini, pembentukan keladak di dalam sistem paip mungkin dapat dielakkan atau mungkin keladak yang telah terbentuk dan terperangkap di dalam sistem paip dapat larut semula ke dalam air kosong.

Apa sahaja yang kita laksanakan, pasti akan ada halangan dan cabaran. Namun kita sendiri lah yang perlu berusaha untuk cari jalan penyelesaiannya. Dengan cabaran inilah yang membuatkan kita membesar dengan lebih kuat dan lebih bijak.

Bila ada halangan pokok tu jadi lebih kuat dan lebih bijak

Selamat maju jaya dalam fertigasi! §

Tuesday, April 22, 2014

Simptom kekurangan unsur Nutrien dalam tanaman

Pada musim yang lepas, terdapat kes terpencil dimana cili kulai 568 yang kami tanam kurang pedas. Jadi setelah melakukan siasatan ada beberapa finding yang kami dapat melalui nasihat Jabatan Pertanian dan sedikit bacaan. (Kalau salah atau ada pandangan lain bolehlah kita bincangkan):

1) Cili 568 memang tidak terlalu pedas berbanding cili yang lain.
2) Kekurangan unsur magnesium dalam baja.

Ok jadi hari ini kami nak bincangkan tentang unsur Magnesium ni.

Unsur Magnesium adalah salah satu unsur dalam baja set AB yang mana ianya terdapat pada Set B (Magnesium Sulfat)

Menerusi sumber bacaan kami, Magnesium membantu dalam fotosintesis pokok. Ianya sebagai penggalak atau pembantu enzim-enzim dalam tumbuhan. Jadi memang penting Magnesium ni.

Selain dari itu , jika Magnesium kurang dalam pokok , pokok akan menunjukkan simptom-simptom seperti daun yang tua berubah warna kuning dan daun melentik atau berputar ke atas.

Persoalannya adalah kadar kepedasan cili dengan magnesium ni adakah ada kaitan. ??


Untuk mengetahui kepentingan unsur-unsur lain dan kesannya terhadap pokok bolehlah rujuk di sini:

https://www.facebook.com/notes/1-malaysia-fertigation-group/nutrients/147626411977712

Terima Kasih.

Thursday, April 17, 2014

Jumlah Media dalam Polibeg Fertigasi

Dalam pertanian secara fertigasi, pokok ditanam di dalam polibeg dengan kuantiti media yang tertentu yang terkandung di dalam polibeg tersebut.

Media di dalam polibeg, ditanam dengan pokok timun

Jadi, jumlah dan keadaan media yang dimasukkan di dalam setiap polibeg adalah penting. Lagi banyak lagi bagus. Tapi kalau terlalu banyak, akan menjadi kurang praktikal dan ekonomikal.
Kalau jumlah media terlalu sedikit, kebolehannya untuk menampung air baja akan berkurangan. Air baja akan cepat tertiris keluar daripada polibeg pada setiap kali siraman. Sekiranya cuaca panas, air baja juga akan cepat menjadi kering. Ini akan mangakibatkan pokok yang ditanam tidak mendapat jumlah nutrien yang sepatutnya, dan pertumbuhannya akan terjejas.

Jumlah terbaik adalah apabila polibeg dilipat lebih kurang satu inci, kandungan media juga adalah satu inci daripada permukaan atas polibeg. Namun, berat keseluruhan polibeg yang telah diisi dengan media juga boleh digunakan sebagai kaedah untuk memastikan jumlah media yang mencukupi. Jika menggunakan media sabut, kadang2 kepadatan dan kadar kelembapan sabut tersebut berbeza, menyebabkan jumlah yang berbeza dimasukkan di dalam polibeg walaupun pada ketinggian yang sama.

Pastikan kepadatan dan kelembapan media adalah sama di dalam setiap polibeg di dalam ladang fertigasi, agar pertumbuhan setiap pokok adalah sekata secara keseluruhan.

Pertanian menggunakan kaedah fertigasi ini dapat mengurangkan pembaziran ke arah 'zero waste'. Ini adalah kerana air dan baja yang diberikan akan terkumpul di dalam polibeg dan tidak akan mengalir keluar (jika sukatan yang diberikan adalah betul). Jadi, pokok akan mendapat hampir kesemua air dan baja yang diberikan.

Berbanding dengan pertanian di atas batas, di mana baja dan air berkemungkinan mengalir keluar dan meresap ke dalam tanah dan tidak kesemuanya berupaya untuk diserap oleh pokok. §

Monday, April 7, 2014

CIli Kulai 151

Alhamdulillah, kami berkesempatan membuat program bersama pelajar-pelajar Sekolah Rendah Penaga. Di kesempatan itu juga kami menanam varieti Kulai jenis 151. Di sini kami akan kongsikan serba sedikit mengenai varieti ini.

Pokok Cili Kulai 151 ini tidaklah setinggi pokok Cili Kulai 568. Pokoknya pendek tetapi buahnya lebat. Oleh kerana lambat ikat dahan dan pokok, 3 pokok telah pun patah kerana buah yang terlalu lebat dan faktor angin.

Media semaian yang digunakan adalah sabut kelapa dan sekam padi
Sepanjang pemerhatian kami juga, buah cili 151 ini kelihatan lebih besar dari Kulai 568. Dalam umur 60HST, buahnya mmg mengujakan sesiapa yang tengok.

Dari segi penyakit dan serangan serangga pula didapati masalahnya agak kurang berbanding kulai 568. Namun iainya masih awal lagi sebab kawasan tanaman ini baru pertama kali ditanam cili. Namun ada juga pokok yang terkena serangan mozek. Serangan kutu dan hamama memang biasa pada pokok cili dan cara mengatasi yang kami gunakan sama seperti cili kulai 568 iaiu penggunaan racun Mencozeb dan Abermactin.

Sekarang ada beberapa hari lagi sebelum ianya boleh dipetik. Harap-harap hasilnya boleh mengembirakan si penanam..

Di sini kami kongsikan gambar pokok varieti cili ini. Bagi tujuan pembelajaran pelajar-pelajar, di kawasan sekolah ini menempatkan 50 pokok sahaja. 3 pokok dah pun kecundang.


Dahan diikat kerana buah yang lebat

Kawasan belakang sekolah yang menempatkan pokok cili Kulai 151

Tuesday, March 25, 2014

Lawatan Program Usahawan Tani Pelapis Belia (P.Pinang) ke Perlis

Baru-baru ini satu lawatan ke Perlis bagi peserta Program Usahawan Tani Pelapis peringkat belia telah diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada projek skala besar dan idea-idea keusahawanan tani yang pelbagai.

Lawatan disertai oleh 8 orang peserta PUTP, 2 orang pegawai daripada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP), dan seramai 7 orang urusetia daripada Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia.

Para peserta telah mula berkumpul di perkarangan Kuarters Pertanian Pasir Gebu seawal jam 7 pagi. Sarapan nasi lemak dan kopi o telah disediakan kepada semua yang menyertai lawatan ini. Sambil menunggu untuk berlepas ke Perlis, peserta bersembang santai bersama Pegawai Pertanian APK (Agen Pengembangan Kawasan) En. Zamri Bin Osman. Antara topik utama adalah berkenaan insentif-insentif yang disediakan (untuk memulakan atau menaiktaraf projek pertanian) oleh badan-badan berkaitan pertanian termasuk Jabatan Pertanian sendiri.

0830 Berlepas ke Perlis dengan 2 kenderaan yang disediakan oleh pihak JPNPP dan juga Yayasan.

0915 Agenda pertama adalah singgah di Merbok, Kedah, untuk lawatan ke ladang penternakan ayam telur yang diusahakan oleh En. Shahril. En. Shahril memberikan taklimat mengenai ladangnya, diikuti dengan sesi soal jawab. Selepas itu, peseta diberi peluang untuk masuk dan lihat sendiri ladang ternakan tersebut, serta melihat mesin penggredan telur beroperasi.

Ladang ayam telur


Antara fakta mengenai perusahaannya & aktiviti penternakan ayam:
- telah beroperasi selama 2 tahun, kini ayam generasi kedua
- bermula dengan 3,000 ekor, sekarang tinggal 2,800 ekor (sebahagian mati akibat penyakit)
- seekor ayam bertelur sebiji sehari (purata hasil sehari 75-85% daripada jumlah ayam)
- telur gred AA hingga gred E bergantung kepada berat
- kos makanan ayam lebih kurang 14 sen seekor sehari
- cabaran pemasaran di awal projek, tapi sekarang permintaan telah melebihi pengeluaran
- perlu ada nekad dan ilmu untuk berjaya

1000 Cenderahati disampaikan kepada En. Shahril dan perjalanan diteruskan ke Pauh, Perlis.

1200 Tiba di Kampung Paya Guring, Pauh, Perlis. Rombongan disambut oleh sahabat dari pasukan Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia bahagian Perlis dan Pengerusi JKKK Kg. Paya Guring, Tuan Haji Romli Bin Haji Hassan. Peserta terus dibawa ke ladang penternakan kelulut di kawasan kebun kelapa berhampiran di mana terdapat lebih kurang 100 rumah sarang kelulut di situ.

Taklimat mengenai penternakan kelulut disampaikan oleh En. Ali Imran dan En. Nur Haq dari pasukan Yayasan di sana. Terdapat beberapa perbezaan dan persamaan berbanding dengan kaedah yang dilaksanakan oleh penternak kelulut lain yang telah dikunjungi sebelum ini.

Setelah taklimat, peserta berpeluang untuk menyedut sendiri madu kelulut terus dari sarangnya dengan menggunakan penyedut minuman.

Kata-kata aluan

Taklimat penternakan kelulut

Sarang kelulut yang kemas dan rapi

Setelah sarang dibuka, madu kelulut disedut dengan 'straw'

Setelah itu, peserta rombongan disajikan dengan minuman air kelapa pandan yang segar yang buahnya dipetik terus daripada pokok-pokok yang terdapat di dalam kebun kelapa tersebut. Setelah airnya diminum, buahnya dibelah dan isinya pula dimakan.

Air kelapa pandan, lepas minum air, makan isinya pula

1325 Setelah selesai aktiviti di ladang penternakan kelulut, rombongan bergerak ke Bilik Gerakan Desa Wawasan Kampung Paya Guring untuk aktiviti seterusnya. Peserta menyempurnakan solat dahulu di surau yang disediakan sebelum taklimat dimulakan.

1400 Peserta ditayangkan dahulu dengan slideshow mengenai aktiviti Kayuhan Perpaduan Nasional 2013 yang berlangsung di Langkawi sementara menunggu kesemua peserta selesai solat.

1415 Majlis seterusnya dimulakan, iaitu sesi taklimat oleh Tuan Haji Romli mengenai Kg. Paya Guring dan juga perkongsian mengenai memartabatkan bangsa dan negara. Seterusnya diikuti oleh taklimat daripada En. Zamri mengenai kerjasama JPNPP dengan Yayasan dan ucapan penghargaannya.

Kata-kata aluan

Tuan Haji Romli menyampaikan taklimat

1440 Selesai sesi tersebut, tiba waktu makan yang dinantikan. Makanan yang disediakan ala kampung memang menyelerakan. Ringkas namum lazat dan berkhasiat.

Ringkas tapi sedap dan berkhasiat

1505 Selepas selesai makan, secara santai peserta disampaikan oleh En. Azlan, Koordinator pasukan Yayasan di Perlis tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan di Kg. Paya Guring. Antaranya projek VTC (Village Transformation Center) yang bermatlamat memajukan ekonomi kawasan kampung dengan konsep perhotelan sambil mengekalkan identiti kampung tanpa menenggelamkannya dalam arus kemodenan.

Seterusnya disampaikan secara ringkas mengenai proses pertanian rock melon skala besar oleh En. Hasnan.

Setelah selesai sesi taklimat, sebelum meninggalkan Kg. Paya Guring, rombongan menyampaikan cenderahati kepada Tuan Haji Romli sebagai tanda penghargaan.

Penyampaian cenderahati

1550 Mula bergerak menuju ke ladang fertigasi rock melon Bintong yang diusahakan oleh pasukan Yayasan di Perlis.

1605 Dalam perjalanan ke ladang, peserta singgah sebentar di sebuah gerai yang menjual mempelam harum manis serta produk-produk sampingan yang lain. Peserta juga mengambil peluang menjamu pulut dan jus asli mempelam harum manis.

Gerai mempelam harum manis

1630 Sampai di ladang fertigasi rock melon Bintong. Namun pada waktu lawatan, ladang tersebut baru sahaja habis musim tuaian dan kesemua pokok telah dilupuskan. Keadaannya kosong tetapi kemas dan terurus. Namun masih banyak yang dapat dipelajari mengenai pertanian fertigasi skala besar walaupun tanpa kehadiran pokok-pokoknya..

Ladang fertigasi rock melon Bintong

 Taklimat penanaman rock melon secara fertigasi

Taklimat mengenai perusahaan rock melon skala besar disampaikan oleh En. Hasnan dan En. Nur Haq. Sesi lebih menjurus kepada sesi soal jawab di mana para peserta banyak bertanyakan soalan untuk dijelaskan oleh pihak Yayasan Perlis. Sejarah bagaimana bermulanya projek berkenaan juga disentuh sedikit sebanyak di dalam taklimat tersebut.

Antara perkara yang dibincangkan adalah sistem paip yang digunakan, sistem SPH (Struktur Pelindung Hujan), pengurusan kewangan dan tenaga kerja, peringkat pembesaran tanaman rock melon dan banyak lagi.

Sesi bergambar sebelum berangkat pulang


1805 Setelah selesai, peserta bergerak  untuk pulang kembali ke Pulau Pinang.

2030 Selamat tiba semula di Kuarters Pasir Gebu.



Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam usasama menjayakan lawatan PUTP ini:

Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang
En. Zamri Bin Osman
Yayasan Al-Tarbiyah bahagian Perlis
JKKK Kg. Paya Guring
Tuan Haji Romli Bin Haji Hassan
En. Syaril
Para peserta PUTP