Friday, December 27, 2013

Tahap Racun dan Label pada Racun

Pasti ramai yang ingin tahu apakah maksud label-label yang ada pada racun yang digunakan.
Racun- racun terdiri daripelbagai kegunaan. Antara yang sering digunakan ialah racun kulat dan racun serangga. Oleh kerana racun ini mempunyai tahap bahayanya kepada manusia, setiap racun yang dijual haruslah mempunyai label-label yang memberika informasi kepada penggunanya. Ini bagi mengelakkan kegunaan yang salah.

Untuk itu pengguna racun haruslah mengerti tahap-tahap bahaya racun-racun ini. Berikut adalah jadual tahap bahayanya racun :

Pita Warna Kelas Racun
LabelWarnaKeterangan
IaHitamBeracun - Amat Bisa
IbMerahBeracun - Bisa
IIKuningBeracun
IIIBiruBerbahaya
IVPutih
Kelas Ia:  Beracun - Amat Bisa
Jauhkan daripada makanan dan kanak-kanak
Kelas Ib : Beracun - Bisa
Jauhkan daripada makanan dan kanak-kanak
Kelas III:  Beracun
Jauhkan daripada makanan dan kanak-kanak
Kelas IV:  Merbahaya
Jauhkan daripada makanan dan kanak-kanak

Warna jalur dan kelas racun perosak

Oleh yang demikian, pelindungan semasa meracun adalah amat penting. Ini termasuklah menggunakan penutup hidung dan mulut, pakaian yang sesuai kalau boleh bertutup semuanya untuk pelindungan kulit.


Racun-racun yang biasa kita jumpa di rumah termasuklah racun serangga nyamuk dan lalat. Ini juga merupakan racun yang boleh memberikan kesan jika terkena berulang kali ataupun terdedah pada makanan.

Lain-lain racun di kebun termasuklah racun cosmos, thiram, abermactin dan mencozeb. 

Jadi disebabkan bahayanya racun ini, maka marilah kita menggunakan sumber-sumber organik. Walaupun keperluan racun masih diperlukan, tetapi usaha-usaha ke arah organik haruslah ditambah agar makanan, persekitaran dan kita dan pekerja kita sendiri terutamanya selamat.

Sumber:

Thursday, December 19, 2013

MyGAP dan SOM

Di Malaysia, terdapat berbagai2 sistem pensijilan yang dikelolakan oleh kerajaan bagi menentukan taraf sesuatu perniagaan atau barangan. Antaranya SIRIM, ISO, MSC, dan sebagainya. Dalam bidang pemakanan juga terdapat pensijilan sedemikian rupa seperti Halal, MyGap dan SOM.

MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) dan SOM (Skim Organik Malaysia) adalah antara pensijilan yang berkaitan dengan pertanian, khususnya yang berkenaan dengan makanan.

 

Berikut adalah antara tujuan2 adanya pensijilan2 seperti ini di dalam industri pertanian:
1) Memastikan bahan makanan yang dihasilkan adalah berkualiti
2) Memastikan bahan makanan yang dihasilkan adalah bersih dan selamat untuk dimakan
3) Memastikan keselamatan pekerja terjamin
4) Memastikan pemeliharaan kebersihan alam sekitar

Sesetengah petani tak ambil berat tentang pensijilan ni, dan tak berminat untuk mendapatkannya. Mungkin kerana tidak berkesanggupan untuk menjalani kerumitan dalam proses memohon status tersebut. Mungkin jugak tak nampak kepentingannya.

Antara keuntungan sijil ni:
Hasil pertanian dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi di sesetengah lokasi
Berpotensi untuk eksport ke negara2 luar yang mempunyai peraturan ketat tentang kesihatan dan kebersihan bahan makanan
Dapat menghalang kemasukan bahan makanan daripada negara luar yang tidak mematuhi piawaian kebersihan dan kesihatan makanan

Memanglah petani2 tak boleh nak dapatkan ganjaran dari segi pendapatan yang serta merta melalui perolehan sijil2 ni. Sebab skim2 pensijilan ni bukanlah satu bentuk bantuan dana ataupun sarana daripada pihak berkuasa. Namun begitu, banyak peluang2 lain yang terbuka yang dapat meningkatkan lagi pendapatan dalam jangka masa panjang. Pokok pangkalnya kena mulakan dengan usaha. §

Thursday, December 5, 2013

Baja fertigasi

Kali ini kami akan kongsikan sedikit pengetahuan tentang pembajaan sistem fertigasi yang mana jika tiada pembajaan atau 'fertilizing' tidak lengkaplah perkataan fertigation tu sendiri.

Pembajaan asas bagi sistem fertigasi terbahagi kepada beberapa campuran. Campuran ini adalah campuran sebatian nutrien yang dicampur atau digaulkan bersama. Untuk penanaman cili dan timun, biasanya kita akan gunakan baja campuran set A dan B. Untuk tanaman lain seperti rockmelon ada yang mencampurkan dengan unsur sebatian atau gaulan lain iaitu set C dan D.

Gambar dari Jabatan Pertanian P.Pinang

Jadi  untuk baja set A biasanya warnanya adalah sedikit perang (jika sudah dilarutkan dalam air). Ini adalah kerana unsur ferum (zat besi) yang memang asalnya berwarna perang.Set B pula kelihatan jernih kebiruan. Berikut merupakan unsur-unsur dalam sebatian kedua-duanya:

Set A:
Kalsium Nitrat 
Iron Chelate 

Gambar dari Jabatan Pertanian P.Pinang


Set B:
Kalium Nitrat 
Mono-kalium hidrogen fosfat 
Magnesium Sulfat 
Mangan Sulfat 
Asid Borik 
Zink Sulfat 
Kuprum Sulfat
Natrium Molibdat 


Gambar dari Jabatan Pertanian P.Pinang

Tentang bancuhan pula, setiap set biasanya ada sukatan berat setiap unsur masing-masing. Dari pemerhatian kami ramai pengusaha yang menggunakan pendekatan untuk membancuh baja sendiri bagi menjimatkan kos. Ini kerana untuk membeli setiap set baja ini agak menelan kos .  

Tentang sukatan pula ada banyak teori di website-website. Tetapi yang paling baik adalah melalui pemerhatian sendiri dan mengkaji unsur-unsur ini tentang kegunaan dan fungsi. Contohnya unsur kalsium untuk menyebabkan buah jadi sihat dan nampak gemuk, jadi jika pengusaha mahukan buahnya atau hasilnya ke arah itu, unsur ini mungkin diletakkan lebih. Begitu juga dengan unsur-unsur yang lain. Jadi dengan itu petani itu sendiri dapat mengawal hasilan tani mereka. Kami juga yang baru setahun jagung pun belum sampai tahap tu lagi.
Cara Penggunaannya biasanya setiap set akan di larutkan dengan 100L air , jika gunakan tong biru (120L) biasanya sehingga sikit lagi nak penuh. dan dari tong biru ini akan di larutkan didalam tangki nutrien. Sukatan adalah berdasarkan pembesaran pokok.
Jadi sama-sama kita belajar dan terus belajar.
"Negara kuat bila Petani Kuat"

Thursday, November 28, 2013

Mari kita tengok dengan lebih terperinci tentang sistem paip dalam pertanian secara fertigasi.

Biasanya terbahagi kepada paip primer (primary), sekunder (secondary) dan tertier (tertiery), bergantung kepada saiz paip. Paip primer adalah yang berdiameter paling besar, dah seterusnya semakin mengecil.

Bagi kapasiti kebun dengan jumlah sehingga 2000 pokok, diameter yang sesuai bagi paip primer adalah 32mm, sekunder 16mm, dan tertier adalah microtube 4mm atau 1mm. Lagi banyak pokok, lagi besar paip yang perlu digunakan.
Terdapat formula bagaimana hendak mengira dan menentukan saiz paip yang sesuai berdasarkan kepada kadar pengairan. Tetapi formula tersebut tidak memainkan peranan yang begitu penting bagi kebun berskala kecil. Hanya kalau ladang skala besar baru penting.

Contoh sistem paip fertigasi

Rekabentuk sistem paip adalah sangat penting bagi memastikan campuran air baja yang disalurkan melaluinya dapat sampai ke setiap pokok secara sekata, agar setiap pokok mendapat sukatan baja yang sama.
Kalau tak sama, nanti pertumbuhan pokok dan hasil pun tak sekata. Nanti ada pokok yang besar, ada yang kecik, ada yang hasil sikit, ada yang banyak.

Bagi tujuan tersebut, perancangan perlulah dibuat terlebih dahulu. Sistem paip mestilah direka bentuk agar tekanan aliran di dalamnya adalah sekata (ataupu sesekata mungkin).

Berikut adalah antara fakta2 yang mempengaruhi tekanan aliran di dalam paip:
- paip yang panjang akan meningkatkan geseran aliran, lantas merendahkan tekanan
- paip yang berdiameter besar jugak sama seperti di atas
- sambungan T dan L akan merendahkan tekanan akibat perubahan arah aliran
- sambungan lurus jugak akan merendahkan tekanan akibat geseran aliran
- perubahan diameter dari besar kepada kecil akan meninggikan tekanan

Gunakan injap (valve atau stopcock) bagi mengawal tekanan. Injap juga boleh digunakan di tempat2 tertentu bagi menghadkan atau menghalang aliran. Bagi sistem paip yang agak rumit, contohnya sekiranya tapak terhalang oleh bangunan menyebabkan barisan tanaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa kelompok, agak sukar bagi mendapatkan tekanan yang sekata. Penggunaan injap adalah kaedah yang baik bagi mengatasi masalah tersebut.

 
Contoh2 injap yang boleh digunakan di dalam sistem paip fertigasi

Di samping memastikan tekanan sekata, rekabentuk sistem paip juga perlu mengambil kira kemudahan untuk penyelenggaraan. Gunakan sambungan2 yang mudah dibuka dan dipasang kembali. Pasangkan injap di bahagian paip sebelum pam bagi memudahkan proses baikpulih jikalau berlaku kerosakan pam, dan bagi memudahkan proses pembersihan alat penapis (disk filter).

Buat cabang spill back bagi mengawal tekanan keseluruhan, dan bagi mengelakkan berlakunya kesan sifon di mana air dari dalam tangki ditarik keluar melalui penitis walaupun pam telah diberhentikan.

Pastinya rekabentuk sistem paip adalah berbeza bergantung kepada pelbagai faktor. Jadi, yang terbaik, buatlah kaji sellidik sendiri dan praktikkan sendiri. Teori2 ada banyak boleh didapati di internet. Aplikasikan teori2 tersebut, dan nilaikan sendiri, sama ada sesuai ataupun tidak, berkesan ataupun tidak. Selamat berfertigasi! §

Tuesday, November 19, 2013

Keselamatan berkebun

Dalam keseronokan atau kegirangan berkebun, yang paling penting sekali kenalah jaga keselamatan. Antara aspek keselamatan yang patut di jaga dan di perhatikan dengan serius adalah keselamatan dan kesihatan pekerja, pengurusan sisa ladang yang baik, pengairan, pengurusan baja, racun dan tanah. Ini adalah antara elemen-elemen yang terkandung dalam Skim Amalan Ladang Baik ataupun singkatannya SALM. Kali ini kami akan kupaskan satu persatu tentang aspek-aspek keselamatan ini.

1) Keselamatan dan Kesihatan Pekerja

contoh Personal Protective Equipment (PPE)
Di dalam perladangan aspek ini harus dititikberatkan, yelah siapa lagi yang hendak kerjakan ladang kalau bukan pekerja. Keselamatan mereka atau kita sendiri harus di jaga dan di pelihara. Antara penjagaan yang harus dititikberatkan adalah penggunaan alat keselamatan diri ketika berkerja. Alat-alat seperti but keselamatan, alat pelindung hidung dan mulut, dan sarung tangan haruslah sentiasa dipakai dan digunakan ketika bekerja. Ini kerana bak kata pepatah , malang itu kan tidak berbau. Apa sahaja boleh berlaku ketika bekerja, pokok tumbang, benda berat timpa kaki, binatang beracun seperti lipan atau lebah , dan yang lebih bahaya ialah pendedahan kepada racun.

Bahaya - bahaya ini memang sering berlaku tanpa kita jangka. Jadi langkah-langkah memakai alat keselamatan ini perlu diutamakan. Pelawat-pelawat yang datang melawat ke kebun juga haruslah diberikan sedikit taklimat ringkas tentang keselamatan di ladang. Ini bagi membolehkan mereka sedar akan tahap keselamatan yang ada. Kalau boleh bekalkan juga alat-alat keselamatan ini kepada mereka supaya mereka ini dilindungi.

Untuk langkah yang lebih baik, perlindungan insuran juga boleh membantu melindungi dan mengurangkan risiko bahaya.

Saudara Hakim
Lain-lain adalah dengan latihan yang cukup kepada pekerja, mengenakan tanda-tanda amaran pada tempat yang bahaya, menyediakan peti rawatan kecemasan, tempat mencuci tangan dan membersihkan diri dan tandas.


2) Pengurusan Sisa Ladang

Sisa-sisa ladang seperti bahan buangan dari tanaman yang tidak boleh dijual atau diperlukan haruslah di uruskan dengan baik untuk mengelakkan pencemaran dan pengabaian keselamatan kawasan.


Ini kerana sisa-sisa ini jika tidak diurus dengan baik boleh membawa wabak dan pencemaran. Jadi untuk itu sisa-sisa ladang harus dibuang ditempat sepatutnya ataupun dikitar semula.

3) Pengairan

Air yang tidak dirawat tidak boleh di salurkan ke saluran biasa seperti sungai dan laut. Ini akan mengakibatkan pencemaran dan bahaya kepada ekosistem.

Selain itu sumber air yang digunakan juga mestilah dari sumber yang diyakini bersih.


4) Pengurusan Baja, Racun dan Tanah

Baja-baja dan racun yang digunakan mestilah atas dasar kecukupan yang diperlukan tanaman. Racun yang merbahaya dan tiada logo yang diyakini haruslah dielak.

Contoh Rak Baja dan Racun
Pengurusan sisa ladang dan racun yang tidak baik

Bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan yang boleh menjurus ke arah kecelakaan atau kecuaian, baja dan racun ini harus dilabel dan diletakkan di tempat yang tertutup.

Bagi ladang yang ditanam di atas tanah, tanah haruslah dijaga dan dielakkan dari berlakunya hakisan. Sumber tanah juga haruslah di dapati dari sumber organik. Ini bagi menjaga kesuburan tanah.

Ini sahaja yang sempat kami kongsikan buat kali ini dan maklumat lanjut mengenai Skim Amalan Ladang Baik (SALM) bolehlah klik ke link di bawah:

http://www.apeec.upm.edu.my/apeec/GACP/PDF%20SLIDES%2013%20JUN/Herba%20SALM.ppt%20[Compatibility%20Mode].pdf

Sekian dulu buat masa ini.. Terima Kasih dan Selamat Berkebun!!




Friday, November 15, 2013

Sistem Fertigasi - Pam dan Tangki

Antara komponen utama dalam sistem pertanian secara fertigasi adalah tangki dan pam. Kali ini kami ingin menerangkan sedikit sebanyak berkenaan tangki dan pam.


Tangki diperlukan untuk menyimpan campuran air dan baja. Kapasiti tangki yang digunakan adalah bergantung kepada jumlah polybag di dalam kebun fertigasi. Lagi banyak jumlah polybag, lagi besar tangki yang diperlukan. Jika menggunakan tangki yang kecil pun tiada masalah, cuma campuran air baja di dalam tangki tersebut lebih cepat habis. Bila cepat habis, air baja pun perlulah diisikan semula dengan lebih kerap. Contohnya jika mempunya 500 polybag di dalam kebun, kapasiti tangki yang sesuai adalah 300 gelen, di mana tangki tersebut perlu diisikan semula setiap 3 hingga 4 hari. Jika menggunakan tangki 150 gelen, ianya perlu diisikan semula dengan lebih kerap, iaitu setiap 1 hingga 2 hari.
Kadang-kadang, bagi kebun yang mempunya jumlah polybag yang banyak (lebih daripada 2000 polybag), 2 atau 3 tangki yang besar perlu digunakana di mana ianya disambungkan di antara satu sama lain.

Pam pula diperlukan untuk mengalirkan campuran air baja dari tangki tadi ke polybag melalui sistem paip. Kekuatan pam juga bergantung kepada jumlah polybag. Lagi banyak polybag, pam yang berkuasa lebih tinggi diperlukan. Jika tidak, tekanan air di dalam sistem paip mungkin tidak cukup tinggi dan tidak mampu untuk menolak air baja sehingga sampai ke keseluruhan kebun.
Kuasa pam yang sesuai adalah kira2 0.5 HP (horse power) bagi setiap 500 polybag. Contohnya, jika kurang daripada 500 polybag, boleh gunakan pam 0.5 HP. Tetapi jika ada 1500 polybag, perlukan pam berkuasa 1.5 - 2.0 HP.

Akan datang kami akan terangkan pula tentang kaedah penyambungan sistem paip dan komponen2 lain yang perlu ada. Jumpa lagi. §

Thursday, October 31, 2013

Sistem Fertigasi

Fertigasi, atau dalam bahasa Inggerisnya fertigation, diambil daripada gabungan dua perkataan, iaitu fertilizer dan irrigation. Fertilizer bermaksud baja, dan irrigation bermaksud saliran atau pengairan.

Ciri utama dalam sistem fertigasi adalah penyaluran baja dalam bentuk cecair yang dialirkan ke setiap pokok bersama dengan air melalui sistem paip.

Sistem paip di bahagian tangki campuran air baja

Campuran air baja disimpan di dalam tangki, dialirkan mengikut masa dan jangka waktu yang ditetapkan dengan bantuan pam elektrik yang dikawal menggunakan alat pemasa (timer). Masa dan jangka waktu pembajaan adalah bergantung kepada beberapa faktor, antaranya, jenis tanaman, usia tanaman, dan keadaan cuaca.

Rekabentuk sistem paip bergantung kepada jumlah pokok dan bentuk tapak tanaman. Kalau tapak segi empat dan rata, tak susah nak tentukan rekabentuk yang sesuai. Tapi kalau bentuk tapak pelik2, contohnya ada berbukit sikit, tak rata, atau ada bangunan di tengah2 tapak, agak rumit nak tentukan rekabentuk.

Rekabentuk sistem paip yang baik adalah penting bagi memastikan air baja dapat disalurkan secara sekata ke setiap pokok. Barulah setiap pokok mendapat jumlah nutrien yang sama. Kalau rekabentuk salah, mungkin akan mengakibatkan pertumbuhan pokok tidak sekata.

Alat penitis (dripper) digunakan di penghujung sistem pengairan di mana air akan dititiskan ke dalam setiap polybag dengan kadar titisan yang terkawal.

Baja yang dibekalkan kepada pokok adalah berbeza mengikut jenis pokok. Contohnya, baja untuk pokok cili tak sama dengan baja untuk pokok timun. Secara fizikal nampak macam sama, tapi kandungan nutrien di dalamnya adalah berbeza.

Antara unsur2 yang terkandung di dalam campuran baja boleh dilihat di sini

Campuran baja bagi keperluan tanaman secara fertigasi adalah berbentuk serbuk (rupa macam serbuk garam) dan dibahagikan kepada dua bahagian yang dinamakan set A dan set B. Tujuan dibahagikan adalah kerana jika dilarutkan kesemuanya dalam larutan berkepekatan tinggi, campuran tersebut akan menghasilkan hablur atau kristal seperti pasir yang akan menyebabkan sistem paip tersumbat.

Kebiasaannya, campuran set A mengandungi unsur ferum dan kalsium nitran, berwarna keperangan. Canpuran set B pula mengandungi bahan2 lain antaranya zink, asid borik, magnesium sulfat, potassium nitran, mangan, kuprum, dan lain2 lagi.

Sukatan setiap bahan tersebut telah ditentukan terlebih dahulu oleh pembekal baja. Selalunya resepi baja ni adalah rahsia. Jadi, kalau belum mahir, memang agak susah nak tentukan sukatan sebenar setiap bahan dalam tu.

Jadi, kalau usahakan berbagai jenis tanaman pada waktu yang sama, baja2 mestilah dilabelkan betul2, supaya tak tersilap bagi baja kepada pokok. §

Friday, October 25, 2013

Model Mini Fertigasi

Minggu ini pada 27 haribulan Oktober di tempat kami akan diadakan Program Bengkel Asas Usahawan Tani Pelapis. Dengan itu kami menjemput semua pembaca untuk turut sama menghadiri program berkenaan yang akan memberikan maklumat-maklumat tentang pembiayaan pertanian dari Jabatan Pertanian sendiri dan juga wakil dari Tekun dan AgroBank. Program ini juga adalah sebagai perlancaran untuk Program Usahawan Tani Pelapis peringkat belia di Kawasan Pasir gebu dan Penaga.

Selain sesi taklimat dan pembiayaan, terdapat juga sesi praktikal di mana peserta akan berpeluang untuk  mencuba dalam penyemaian anak benih cili dan juga sesi praktikal cendawan. Dalam pada yang sama kami juga akan memberi peluang peserta untuk melawat kebun skala kecil fertigasi cili di sana.


Selain itu juga, kami juga akan mempromosikan model mini fertigasi dan cendawan bagi mempromosikan model skala kecil bagi fertigasi dan cendawan.

Di sini adalah model yang akan kami promosikan. Kelebihan model mini ini adalah bagi pengguna yang berminat dalam pertanian tetapi tidak mempunyai kawasan tanah yang luas terutama bagi kawasan rumah bandar-bandar . Penggunaan model mini ini juga ideal untuk makanan kegunaan sendiri. Maksudnya makanan yang terhasil sendiri di rumah.





Untuk model mini 10 polibeg ini, ciri-cirinya ideal bagi kawasan yang kecil seluas 10kaki x 5 kaki. Ianya sesuai bagi apa-apa penanaman sayur seperti cili, terung dan timun. Pengguna juga boleh menukar kepada pasuan daripada memakai polibeg. Untuk tanaman menjalar seperti timun, pancang perlu diletakkan untuk setiap polibeg bagi memudahkan pokok menjalar.

Model ini menggunakan pam ikan yang cukup berkebolehan menyalur baja dan air sehingga 50 polbeg. Model ini boleh digunakan berulang kali dan pelbagai jenis tanaman boleh di tanam. Makanan yang terhasil juga adalah dari kawalan sendiri dan  pastinya selamat untuk dimakan.

Model ini juga boleh ditambah bilangan polibegnya sehingga 50 polibeg. Harga-harga untuk model mini ini akan kami updatekan dari semasa ke semasa.

Untuk keterangan lebih tentang model ini terutama tentang harga bolehlah kunjungi kami di program 27 hb ini di Pasir Gebu.  Jumpa di sana

Friday, October 11, 2013

Program di KRT Kedawang sempena Kayuhan Perpaduan Nasional 2013, Langkawi

Baru-baru ini, Program Kayuhan Perpaduan Nasional telah diadakan di Pulau Langkawi, Kedah, iaitu pada 21 September 2013. Kayuhan tersebut telah dimulakan di Dataran Lang, dan singgah di dua lokasi rehat iaitu KRT (Kawasan Rukun Tetangga) Kedawang dan KRT Desa Kemboja, sebelum berakhir di Dataran Lang kembali.


Di KRT Kedawang, program dijalankan di perkarangan Masjid Ar-Rahman. Kanopi telahpun siap dipasang sehari sebelum program kayuhan bermula. Pada hari berlangsungnya kayuhan tersebut, awal-awal pagi lagi sebahagian ahli KRT dan penduduk kampung telahpun memulakan kerja-kerja persiapan program bersama-sama dengan pasukan panitia ACT (Associated Cyclosportif Trekkers) yang bertugas.

 Menyiapkan makanan bagi para pengayuh

Makanan yang disediakan adalah ringkas namun menyelerakan bagi menyambut para tetamu dan pengayuh yang pastinya agak keletihan dan sedikit kelaparan. Pelbagai jenis nasi lemak bungkus, kuih muih tradisional dan air minuman disediakan. Susun atur kerusi dan meja juga dibuat, dan peralatan untuk aktiviti gotong royong juga turut disediakan.


Ketibaan para pengayuh di KRT Kedawang

Kira-kira jam 10 pagi, para pengayuh telah tiba dan disambut oleh ahli KRT Kedawang. Taklimat aluan dan pengenalan mengenai KRT Kedawang dan taklimat gotong royong telah diberikan oleh ahli KRT dan panitia ACT.

 Kata-kata aluan dan taklimat oleh KRT

Para pengayuh seterusnya dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk sesi gotong royong di mana terdapat tiga kawasan untuk dibersihkan iaitu kawasan Masjid Ar-Rahman, kawasan klinik kesihatan bersebelahan dengan Masjid, dan juga kawasan dalaman Mahad Tahfiz yang juga terletak bersebelahan dengan Masjid.

 Sesi gotong royong

Setelah selesai sesi gotong royong yang mengambil masa kira-kira 30 minit, para tetamu dijemput untuk menjamu selera dengan makanan yang telahpun siap disediakan semenjak awal pagi tadi. Sambil makan, sambil beramah mesra. Selesai menjamu selera, para pengayuh mula bersiap sedia untuk menyambung kembali kayuhan ke destinasi seterusnya iaitu KRT Desa Kemboja pula. Sebelum kayuhan dimulakan, sesi pertukaran cenderahati telah dilaksanakan terlebih dahulu di mana bagi pihak ACT diwakili oleh pengasas ACT iaitu En. Ahmad Ruzizan Maphilindo Bin Mohd Isa, dan bagi pihak KRT diwakili oleh pengerusi KRT Kedawang iaitu En. Ahmad Mahzan Bin Ariffin.

Pertukaran cendera hati

Setelah itu, para pangayuh pun meneruskan kayuhan mereka dengan ucapan terima kasih kepada KRT dan penduduk Kedawang kerana menerima kunjungan mereka dengan tangan terbuka.

Selesai kesemua program, panitia ACT turut membantu KRT dalam mengemas dan menyusun kembali kerusi dan meja. Sempat juga bergambar kenang-kenangan sebelum meninggalkan KRT.

Panitia ACT bergambar bersama tuan rumah KRT Kedawang

Terima kasih daun keladi. Kami berharap hubungan di antara KRT Kedawang dan ACT akan berterusan dan berpanjangan. Kalau ada umur yang panjang, harapnya lain kali kita boleh berjumpa lagi. §

Thursday, October 10, 2013

Program Gotong Royong dan Silaturrahim bersama penduduk KRT Desa Kemboja sempena Kayuhan Perpaduan Nasional 2013

Pada 21 September 2013 yang lepas sempena program Kayuhan Perpaduan Nasional 2013 di Langkawi Kedah, kami telah diberikan tugas-tugas kepanitiaan bagi membantu program-program KPN 2013 ini berjalan lancar.  Antara skop tugas dan tanggungjawab kami adalah untuk mengadakan program di tempat-tempat persinggahan peserta kayuhan.

destinasi kedua peserta kayuhan adalah di Kawasan Rukun Tetangga Desa Kemboja. KRT Desa Kemboja ini terletak lebih kurang 11 km dari Pantai Chenang. Antara aktiviti yang dilakukan disini ialah aktiviti gotong royong membersihkan surau, aktiviti gotong royong membersihkan taman permainan, aktiviti penanaman pokok bunga raya dan juga bengkel pengenalan seni kompang dari kelab kompang tempatan.

Pertemuan kami dengan Pengerusi KRT Desa Kemboja En Alias B Burhanudin adalah pada mesyuarat  jawatankuasa Kayuhan Perpaduan Nasional pada 19 September 2013 di Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi. Mengenal En Alias adalah seorang yang ramah dan menurut beliau, KRT Desa Kemboja memang selalu mengadakan majlis-majlis kenduri dan majlis-majlis lain sehinggakan dalam satu-satu masa menganjurkan 3 kenduri dalam satu minggu. Di dalam mesyuarat berkenaan pihaknya telahpun bersetuju untuk mengadakan 5 program serentak dengan menyambut ketibaan para peserta kayuhan di tempat beliau. Di samping itu juga penduduk setempat akan mengadakan gotong royong memasak makanan tengahari untuk menjamu para peserta dan urusetia.

Kami juga berpeluang mengenal mereka dengan lebih rapat sebelum program berlangsung dengan jemputan En Alias ke program Skim Rondaan Sukarela yang diadakan 2 hari sebelum program KPN di  anjurkan. Turut serta dalam majlis ini adalah PEngarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Kedah En Mohd Saidi B Midin  dan ADUN Ayer Hangat YB Hj Mohd Rawi B Abd Hamid. Aktiviti ini memberi peluang kepada kami untuk mengenal penduduk dan kawasan Desa Kemboja dengan lebih rapat lagi.

Pada hari program, seawal pagi lagi penduduk Desa Kemboja telah pun bergotong royong bagi menyediakan keperluan majlis. Ramai di antaranya yang membantu dalam masakan tengahari dan ada diantaranya yang membantu menyediakan peralatan untuk gotong royong seperti persiapan susunan pokok bunga raya, persiapan meja dan kerusi dan sebagainya. Kesempatan bersama mereka dalam membantu dalam persediaan majlis ini mengesahkan kata-kata penduduk yang penduduk-penduduk dan ahli-ahli KRT Desa Kemboja amatlah peramah dan tidak lokek dalam menceritakan sejarah dan kelebihan tempat tinggal mereka.

Tepat jam 1145 peserta kayuhan sampai di kawasan KRT ini dan dikumpulkan di kawasan taman permainan dengan diiringi alunan kompang dari Kelab Kompang KRT Desa Kemboja. Kemudian peserta-peserta diberi sedikit ucapan selamat datang dan taklimat acara. Peserta-peserta kemudiannya dipecahkan kepada 5 kumpulan mengikut aktiviti yang di rancangkan.

Peserta Tiba
Aktiviti pertama adalah sedikit jamuan ringan iaitu minuman dan buah-buahan bagi peserta mengembalikan tenaga. Kemudian aktiviti gotong royong pun bermula. Walaupun dilimpahi dengan panasnya bahang matahari terserlah semangat kerjasama dan budaya bantu membantu peserta dan penduduk. Antara kerja yang meriah dengan riuh rendah dan gelak ketawa adalah aktiviti menanam pokok bunga raya dan semaian anak pokok bunga.

Bengkel Kompang yang diadakan

Peserta kayuhan wanita pula diberi kesempatan untuk menyertai bengkel kompang oleh ahli-ahli Kelab Kompang. Menariknya disini walaupun masa yang diluangkan tidak sampai satu jam, peserta boleh memainkan semula nada yang di ajarkan. Ahli-ahli kelab yang rata-ratanya adalah belia dan pelajar sekolah menengah nampak mesra dan tidak kekok dalam berbahasa dan bersembang.

Setelah lebih kurang satu jam, peserta-peserta dijemput untuk menikmati makan tengahari oleh Pengerusi KRT. Lauk ayam masak kicap nampaknya sangat menyelerakan dan kena dengan citarasa peserta. Disamping itu juga dalam kesantaian acara, majlis bertukar-tukar cenderahati diadakan sebagai tanda penghargaan dari pihak kami dan tanda selamat datang dari pihak KRT.

Setelah majlis ini berlangsung, peserta-peserta diberi sedikit taklimat untuk bersiap-siap untuk berlepas. Sebelum perlepasan, tidak lupa dari pihak kami untuk merakam detik bersejarah itu dengan menangkap gambar bersama peserta dan penduduk.

Pengerusi KRT kemudiannya menyampaikan sedikit kata-kata penghargaan kepada peserta dan peserta kemudiannya berlepas ke destinasi seterusnya.

Walaupun pertemuan penduduk KRT dan peserta dirasakan amat singkat tetapi diharapkan perhubungan ini akan berkekalan selamanya. Dengan berlepasnya peserta kami di pihak kepanitiaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan pada pihak KRT Desa Kemboja dengan kelancaran dan kesudian mengadakan acara di sana. TERIMA KASIH.

Wednesday, October 9, 2013

Lebah Kelulut Sebagai Ejen Pendebungaan

Salam.

Sedikit makluman mengenai keadaan terkini tapak tanaman fertigasi di Pasir Gebu.
Hari ini merupakan hari ke 68 (minggu ke 10) setelah pokok2 cili dipindahkan ke dalam polybag.
Hari ini juga hasil tuaian sulong cili masak telah dipetik daripada beberapa pokok.





3 biji je cili sulong. Tapi takpa. Jumlah berat 70 gram. Esok lusa makin banyak lagi yang akan masak. Ada juga teknik untuk hasilkan cili yang lebih pedas. Tapi belum belajar lagi. Nak kena dapatkan jugak ilmu tu dalam masa terdekat ni.

Lumrah dalam pertanian, dalam banyak2 buah dan sayuran yang dihasilkan, pasti ada yang rosak disebabkan penyakit, serangga perosak ataupun kulat. Kalau ikutkan, sebelum dapat kutip tuaian cili yang sulong ni pun dah hampir sekilo buah cili yang rosak dan gugur. Yang tak sengaja patah masa ikat trelis pun ada juga.



Untuk tanaman buah-buahan atau sayuran (jenis buah seperti cili, timun, terung, dan sebagainya), pendebungaan perlu berlaku dahulu bagi mengeluarkan hasil. Antara ejen pendebungaan yang paling baik ialah serangga seperti lebah dan kumbang.

Di bangunan kuarters Pasir Gebu ni ada sarang lebah kelulut di dalam pintu depan dan pintu belakang. Kadang2 ada banyak lebah ni berterbangan di luar pintu. Agaknya kehadiran lebah kelulut nilah antara penyebab buah2 cili dapat tumbuh dengan agak lebat.




Akan datang, mungkin kami akan mulakan aktiviti penternakan lebah kelulut juga, sebagai agen pendebungaan tanaman, dan hasil madu kelulut juga boleh dijual sebagai pendapatan sampingan. §

Friday, September 27, 2013

Lawatan muhibbah bersama Jabatan Pertanian

Pada 12 September 2013 yang lepas kami telah berpeluang bersama-sama dengan Agen Pengembangan Kawasan (APK) Pasir Gebu iaitu en Zamri ke 2 tempat usahawan tani yang telah berjaya dalam perusahaan masing-masing. Dua tempat ini adalah di Merbok Kedah dan di Kuala Sanglang Perlis. Dari Pejabat Pertanian Bumbung Lima SPU, kami bertolak seawal 830 pagi dengan satu van adalah dikalangan usahawan tani dan satu lagi van adalah dari kalangan pegawai-pegawai Jabatan Pertanian termasuklah Penolong Pegawai Pertanian Pn Haridan.



Destinasi pertama adalah di area Tikam Batu iaitu jalan lama ke Sg Petani. Hentian pertama bermotifkan makan. Sarapan pagi dulu sambil menunggu ketibaan yang lain..

Setelah bersarapan, kami bergerak ke Merbok. Apa yang ada di sini selain Lubuk Tupah? Di sini terdapat satu perusahaan madu kelulut yang sudah berjaya.





Walaupun dikatakan market telah sangat tepu, tetapi alhamdulillah mengikut kata pengusahanya iaitu Abang   Johari setiap bulan pengeluarannya tidak dapat memenuhi kehendak pasaran. Sentiasa sold out.



Antara cerita dan penerangan pengusaha madu lebah yang saya rasakan belum mencecah setengah abad ini, madu mempunyai makam yang tinggi dalam hirarki makanan kerana selalu diceritakan dalam alquran. Oleh itu pengusaha ini menyarankan untuk mengusahakan ternakan madu lebah atau kelulut ini, pengusaha haruslah mengikut tabiat lebah atau kelulut ni. Bukan mengikut kehendak pengusaha. Selain itu antara istimewannya lebah ini ialah lebah juga adalah satu-satunya haiwan yang menerima wahyu dari Allah.

Beliau telah mengusahakan perusahaan ini selama lebih 2 tahun dan di ladang beliau terdapat lebih 600 sarang kelulut yang berupaya menghasilkan 500 kg madu sebulan. Harga sekilo mencecah RM100.. Lumayan juga perusahaan ini. Antara yang menarik lagi, perusahaan ini kurang memerlukan kos penyelengaraan.

Kelulut menurut beliau lagi berbeza dengan lebah dengan keupayaan mengekstrak madu yang terhasil bukan sahaja dari bunga tetapi dari pucuk pokok, batu-batuan dan kayu-kayu dari persekitaran. Jadi kelulut boleh menghasilkan madu sepanjang tahun.

Antara sarang kelulut yang terdapat di sana
Sarang Kelulut
Kami turut diberi peluang merasai madu yang sangat fresh, terus dari sarang kelulut tersebut. Rasanya agak masam dan lain sarang, lain rasanya bergantung pada jenis kelulut. Lebih kecil saiz kelulut, lebih bermutu madunya, lagi mahal harganya. :)

Madu Kelulut Fresh yang diambil menggunakan picagari

Bagi yang berminat boleh juga mencuba dengan satu sarang kelulut disini dijual dengan harga RM 900.

Destinasi kedua adalah di Kuala Sanglang, yang mana kami tiba di sana pada jam 1 tengahari. Perusahaan di sini adalah perusahaan Nira Nipah.




Apa yang menariknya disini pengusaha mengambil langkah mengkomersilkan tempat beliau dengan membangunkan ladang nipah yang bersih dan terurus khas untuk pelancong dan pengunjung untuk datang merasai nira yang asli dan segar.


Walaupun begitu, pengusahanya tidak dapat kami ketemu kerana difahamkan tidak berapa sihat. Di sini juga disediakan gerai-gerai jualan dan sempat kami semua pekena laksa yang dijual disini.


Antara objektif lain kunjungan ke Kuala Sanglang adalah bagi membuka idea kepada pengusaha tempatan untuk memajukan tempat masing-masing yang mana salah seorang dari kami adalah Abang Man yang juga mengusahakan Nira Nipah di Pasir Gebu Tepi Laut. Hasrat dari Jabatan Pertanian sendiri adalah untuk bersama-sama membantu Abang Man untuk memajukan lagi perusahaan nira beliau.

Antara yang menanti pengunjung


e

Selesai lawatan ke kedua-dua tempat, sedar tak sedar kami dah dekat dengan sempadan Malaysia Thailand, jadi kesempatan ini membawa kami ke Padang Besar.. Shoppingla apa lagi....


Selain dari lawatan-lawatan yang menambah pengetahuan kami, lawatan ini juga memperkenalkan kami kepada beberapa pengusaha tempatan antaranya Abg Tajul yang mengusahakan ladang kelapa, Abang Man sendiri dan dua orang anak muda yang kami kenali sebagai Abang Chik dan Muiz yang meminati bidang pertanian padi. Seronok juga bersembang sambil bertukar-tukar pandangan dan pengalaman masing-masing.